KUALA LUMPUR: Pelakon, Chacha Maembong berharap orang ramai memberi ruang serta mendoakan kesejahteraan kakaknya, Emma Maembong yang dikatakan sudah berpisah dengan kekasihnya, DJ Kidd.
Chacha atau Siti Aishah Ismail, 30, berkata, sebagai adik, dia akan terus berdiri teguh di sisi kakaknya yang telah melalui pelbagai ujian dalam kehidupan.
“Dia tetap kakak saya dan saya akan sentiasa menyokongnya sampai bila-bila. Saya berharap orang di luar sana dapat mendoakan yang terbaik buatnya kerana dia sudah melalui banyak perkara.
“Sekarang adalah masa untuk dia melalui proses penyembuhan diri dengan tenang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka iQIYI di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, keadaan Emma kini beransur baik dan berharap orang ramai menghentikan spekulasi yang boleh mengganggu emosi pelakon itu.
“Jika boleh, saya tidak mahu pihak luar terus memberi tekanan dengan gosip seperti ini. Kedua-dua pihak juga sudah memilih untuk meneruskan kehidupan masing-masing.
“Kakak saya kini melalui kehidupan yang lebih bahagia. Jadi, biarlah keadaan itu kekal seperti sekarang,” ujarnya.
Menurut Chacha, Emma juga kekal sibuk dengan jadual penggambaran sehingga mereka jarang berjumpa.
“Keadaannya baik sahaja. Kami jarang berjumpa hampir setiap hari kerana masing-masing sibuk dengan penggambaran.
“Namun, setiap kali bertemu, dia berada dalam keadaan baik. Dia seorang wanita yang sangat kuat, malah antara individu paling kuat yang pernah saya kenali,” katanya.
Chacha turut menambah, kakaknya bukan seorang yang mudah menunjukkan kesedihan di hadapan umum.
“Jika ditanya keadaannya, dia seperti biasa dan tidak akan memperlihatkan kesedihan di hadapan orang lain. Saya dapat lihat dia benar-benar sedang bahagia sekarang,” katanya.
Terdahulu, DJ Kidd mendedahkan hubungan cintanya dengan Emma tidak lagi serius. Emma bagaimanapun mengakui terkilan apabila hal peribadi dikongsi secara terbuka, namun memilih untuk menghadapinya dengan hati terbuka. – UTUSAN










