KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 ke atas seorang Eksekutif Sumber Manusia dan Pentadbiran selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu melibatkan tuntutan invois syarikat, tiga tahun lalu.
Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu terhadap Maslidah Mohamad, 45, sejurus selepas pengakuan bersalahnya direkodkan.
Mengikut pertuduhan, Maslidah yang didakwa pada sekitar Januari 2023 di Pejabat Permint Plywood Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian AMBS, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, dengan curangnya menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu invois tuntutan bertarikh 5 Januari 2023 berjumlah RM2,520.
Dokumen tersebut diketahui palsu ketika diserahkan kepada bahagian kewangan syarikat berkenaan.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memaklumkan dia kini menjalani rawatan penyakit kanser dan angin ahmar. Dia turut menyatakan menjaga seorang anak autisme selain suaminya yang tidak mempunyai pendapatan tetap. – UTUSAN










