IPOH: Tenaga Nasional Berhad (TNB) merekodkan kerugian mencecah RM5.49 bilion akibat kecurian elektrik yang dikaitkan dengan aktiviti perlombongan bitcoin di Perak dalam tempoh 2018 hingga Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerugian berkenaan direkodkan hasil pemeriksaan ke atas 4,283 premis yang dikesan melakukan pengubahsuaian meter atau penyambungan bekalan elektrik secara haram.
“Sehingga Februari lalu, TNB telah mengambil tindakan ke atas 17,489 premis di seluruh negara dan di Perak sendiri melibatkan 4,283 premis.
“Untuk makluman, Perak merekodkan jumlah kes kedua tertinggi di Semenanjung melibatkan aktiviti perlombongan haram bitcoin.
“Aktiviti ini telah menyebabkan TNB mengalami kerugian sebanyak RM5.49 bilion dalam tempoh tersebut,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Menurut beliau, dari segi taburan kes, daerah Manjung merekodkan pecahan kes tertinggi dengan 1,742 premis diperiksa membabitkan anggaran kerugian sebanyak RM53.4 juta.
Beliau berkata, daerah Perak Tengah (Seri Iskandar) turut mencatatkan bilangan kes yang tinggi dengan 857 premis diperiksa membabitkan anggaran kerugian sekitar RM26.2 juta.
“Kebanyakan kes di dua kawasan berkenaan merupakan kes berulang membabitkan pengusikan pepasangan meter,’ katanya.
Tambah Mohammad Nizar, peningkatan nilai mata wang kripto sebanyak 732 peratus dari 2018 hingga Februari lalu menjadi antara punca peningkatan mendadak aktiviti perlombongan bitcoin dalam tempoh tersebut.
Sehubungan itu beliau berkata, penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah penting bagi membendung kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.
“PBT mempunyai kuasa dalam aspek premis, perlesenan, penggunaan tanah dan keselamatan bangunan.
“Disamping itu, PBT juga dapat membantu menutup atau menyita premis yang terlibat, sekali gus memperkukuhkan tindakan bersepadu bagi membanteras aktiviti perlombongan bitcoin haram dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya. – UTUSAN










