Dua beradik positif dadah selepas pulang pesta Songkran di Danok

Dua beradik positif dadah selepas pulang pesta Songkran di Danok

MD. Razif Wan (kanan) menyoal siasat dua beradik termasuk calon SPM yang ditahan AADK selepas positif dadah di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Keterujaan dua beradik menyertai pesta Songkran di Danok, Thailand bertukar mimpi ngeri apabila ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah, petang semalam.

Kedua-dua suspek lelaki dan perempuan masing-masing berusia 17 dan 21 tahun ditahan ketika melalui pemeriksaan khas di  Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sebaik pulang dari negara jiran.

Menurut gadis terbabit, kunjungan ke pesta itu merupakan pengalaman pertama selepas merancang perjalanan bersama adiknya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), tahun ini.

“Kami pergi pada Jumaat lalu berdua sahaja, saya ajak adik dan maklumkan kepada ayah sebelum bertolak. Di sana, kami hanya main air seperti biasa dari petang sampai malam.

“Tetapi pada waktu malam, ada individu memberikan rokok secara percuma kepada saya dan saya tahu ia mengandungi dadah cuma saya tak sangka akan ditahan AADK,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, selepas menghisap rokok tersebut, dia mula berasa khayal sebelum pulang ke hotel yang disewa mereka untuk tidur.

Adiknya yang berusia 17 tahun turut mengakui menyesal dan tidak mahu lagi berkunjung ke negara itu sewaktu sambutan pesta Songkran kerana menganggap ia pengajaran besar buat mereka dua beradik.

Sementara itu, Pengarah AADK Kedah, Md. Razif Wan berkata, seramai 37 individu berusia antara 17 hingga 46 tahun ditahan pihaknya sejak kelmarin melalui operasi sekatan jalan raya (SJR) khas di laluan masuk ke negara ini.

“Saringan air kencing mendapati seramai 17 suspek positif ketamin, MDMA (14), methamphetamine (4) dan THC (2) yang kesemuanya mengakui masuk dengan tujuan berhibur di sekitar Danok sempena pesta Songkran.

“Keputusan saringan air kencing dua beradik itu juga mendapati mereka positif methamphetamine, MDMA dan ketamin. Malah, sebahagian mereka mendakwa tahu mungkin akan ada SJR dan pemeriksaan urin oleh AADK di sempadan, namun tetap mengambil risiko dengan harapan tidak ditahan,” katanya.

Md. Razif turut memaklumkan, terdapat seorang lagi calon SPM ditahan kira-kira pukul 11 malam, Sabtu lalu bersama rakannya yang berusia 22 tahun.

“Mengikut maklumat, remaja terbabit tiada masalah disiplin di sekolah dan merupakan pelajar yang baik. Apabila disahkan positif, ibu dan gurunya terkejut. Hasil siasatan mendapati remaja itu hanya ikut rakan yang memang ada banyak kes, malah ahli keluarga rakannya juga ada yang terlibat dengan dadah,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN