DSA: 16 perjanjian strategik dimeterai tiga universiti awam

DSA: 16 perjanjian strategik dimeterai tiga universiti awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyelidikan berkaitan sistem peluru berpandu dan balistik serta teknologi dron taktikal antara 16 perjanjian strategik dimeterai tiga institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan pelbagai rakan industri pertahanan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 hari ini.

Perjanjian yang dimeterai itu melibatkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang merangkumi tujuh Memorandum Perjanjian (MoA), empat Memorandum Persefahaman (MoU), tiga Perjanjian Kerahsiaan (NDA) dan dua Surat Niat (LoI).

UPNM memeterai jumlah tertinggi dengan 14 perjanjian, manakala UMPSA dan UniMAP masing-masing satu perjanjian.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, lebih 75 peratus daripada 16 perjanjian yang dimeterai hari ini menjurus kepada bidang teknologi pertahanan dan pemindahan ilmu teknikal.

“Ia merangkumi sistem peluru berpandu dan balistik artileri, teknologi dron dan sistem autonomi udara (UAS), keselamatan siber, serta teknologi roket dan satelit. Bidang lain yang turut diberi tumpuan termasuk sistem autonomi udara (UAS), keselamatan siber, teknologi roket dan satelit serta sistem penyulitan dan penjejakan tentera.

“Perkembangan ini mencerminkan peranan baharu universiti awam sebagai bukan sekadar pusat akademik, tetapi rakan strategik dalam pembangunan teknologi pertahanan negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis MOU dan MoA KPT Bersama rakan industri pertahanan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Menurutnya, penyertaan di bawah Astaka KPT itu merupakan peluang keemasan bagi mempertemukan hasil kajian ahli akademik dengan pemain industri pertahanan secara langsung.

“Ini adalah satu platform untuk universiti awam mengetengahkan produk-produk inovasi yang telah dihasilkan.

“Ia membolehkan inovasi yang belum dipilih oleh pihak industri untuk dinilai dan disesuaikan dengan keperluan sektor keselamatan.

“Kita kumpulkan inovasi ini di satu pavilion supaya mudah untuk pihak industri melihat, menilai, dan mengenal pasti produk yang sesuai bagi memperkayakan lagi jalinan kerjasama strategik antara mereka,” katanya.

Mengulas mengenai pameran di Astaka KPT, Azlinda berkata, pelbagai inovasi praktikal menarik perhatian pengunjung, yang mana ia turut menyokong Dasar Industri Pertahanan Negara.

“Sebagai contoh, UMPSA membawa inovasi berkaitan dron termasuk dron intip dan dron untuk penghantaran barangan.

“UTHM pula mempamerkan inovasi rekaan bom khusus untuk tujuan latihan (praktis), manakala UPNM tampil dengan kepakaran tujahan mereka iaitu Kepintaran Buatan (AI) serta pertahanan siber,” katanya.

Secara keseluruhan, Astaka KPT yang berlangsung hingga 23 April ini menghimpunkan sembilan UA di bawah satu bumbung bagi mempamerkan 12 produk inovasi penyelidikan tempatan yang mencakupi teknologi pertahanan, keselamatan siber, dan sistem autonomi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN