Didakwa buat hantaran jelik 3R, pesara tentera mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Didakwa buat hantaran jelik 3R, pesara tentera mengaku tidak bersalah

SEORANG pesara tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik membabitkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) pada Disember tahun lalu di Mahkamah Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik membabitkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Marzuki Ismail, 52, membuat pengakuan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara sedar menggunakan akaun Facebook “Marzuki Ismail” dan membuat penghantaran kira-kira pukul 2.30 petang, 22 Disember 2025 sebelum dikesan pada pukul 3 pagi, 24 Disember 2025.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hantaran tersebut telah mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan satu keputusan mahkamah berhubung Titah Adendum, dengan niat menyakitkan hati mana-mana pihak lain.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi memastikan kehadiran Orang Kena Saman (OKS) ke mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Nik Zarith Nik Moustpha yang mewakili OKS memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan ia sepatutnya bertujuan memastikan kehadiran anak guamnya dan bukan untuk menghukum atau membebankan.

Menurutnya, OKS yang berusia 52 tahun mempunyai tiga orang anak termasuk yang masih bersekolah serta merupakan bekas anggota tentera yang berkhidmat selama 22 tahun.

“OKS kini bergantung kepada pencen sebanyak RM1,400 sebulan untuk menyara isteri dan anak-anak.

“Dia juga menghidap diabetes dan memerlukan rawatan berkala di hospital selain memberi kerjasama penuh kepada MCMC apabila hadir ke Balai Polis Pengkalan Chepa untuk dirakam keterangan serta hadir sendiri ke mahkamah hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon mahkamah menetapkan jaminan pada kadar paling minimum.

Hakim Ahmad Fuad Othman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 9 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini