GEORGE TOWN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang meminta agar orang ramai tidak panik berikutan terdapat dakwaan berlakunya masalah gangguan bekalan diesel dan petrol RON95 di beberapa stesen minyak di negeri ini.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, pihaknya telah menerima laporan itu dan syarikat minyak yang terlibat iaitu Shell Malaysia telah mengesahkan bahawa masalah tersebut berpunca daripada kelewatan penghantaran bekalan bahan api berkenaan ke stesen minyak mereka.
“Pihak Shell dalam satu mesyuarat pada Jumaat yang lalu telah memaklumkan bahawa terdapat sedikit gangguan bekalan akibat kelewatan kapal (yang membawa minyak) sampai. Namun, mereka kini sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menangani isu berkenaan.
“Hasil mesyuarat yang sama turut mengesahkan bahawa masalah gangguan bekalan bahan api itu tidak melibatkan stesen minyak daripada jenama lain setakat ini,” katanya di sini, hari ini.-UTUSAN










