Cuaca kering dijangka makin buruk mulai Mei

Cuaca kering dijangka makin buruk mulai Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dijangka berdepan cuaca lebih panas dan kering mulai Mei ini susulan permulaan Monsun Barat Daya yang menyebabkan taburan hujan berkurangan serta meningkatkan risiko kemarau.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan itu merupakan kitaran tahunan yang lazim berlaku antara penghujung Monsun Timur Laut pada Februari hingga peralihan ke Monsun Barat Daya sekitar Jun.

Katanya, kemuncak cuaca panas biasanya direkodkan antara pertengahan Mac hingga April dengan suhu maksimum boleh melebihi 37 darjah Celsius di beberapa kawasan.

“Keadaan iklim yang dinamik boleh menyebabkan taburan hujan berkurangan atau meningkat berbanding purata, bergantung kepada pengaruh fenomena global seperti El Nino dan La Nina,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, Monsun Barat Daya yang bermula Mei lazimnya membawa taburan hujan lebih rendah di kebanyakan kawasan sekali gus meningkatkan potensi cuaca panas dan kering berpanjangan.

Katanya, sekiranya El Nino ekstrim serta pengaruh Indian Ocean Dipole (IOD) positif berterusan, keadaan kering dijangka menjadi lebih ketara dan berlarutan sehingga tahun hadapan.

Dalam pada itu, MetMalaysia akan terus memantau perkembangan pemacu iklim global termasuk El Nino, IOD dan Ayunan Madden-Julian (MJO).

“Pemantauan terhadap taburan hujan, paras empangan serta indikator risiko kemarau dan kebakaran hutan turut dipertingkat bagi mengesan sebarang impak cuaca ekstrem,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai disaran mengurus penggunaan air secara berhemah, mengurangkan pendedahan kepada cuaca panas serta sentiasa peka terhadap amaran cuaca bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan dan keselamatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN