Bicara kes anak Amir Ukays curi Ferrari tangguh - Utusan Malaysia

Bicara kes anak Amir Ukays curi Ferrari tangguh

MOHD Aliff Naim Mohd Azmir (tengah, baju biru) didakwa bersama dua rakan lain mencuri sebuah kereta Ferrari di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini. -UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes membabitkan anak penyanyi, Amir Ukay’s yang didakwa mencuri sebuah kereta mewah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini ditangguhkan ke 27 April ini.

Ia selepas Majistret Normaizan Rahim membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aizudin Radthuan.

Terdahulu, pendakwaan memohon penangguhan perbicaraan kes itu bagi mendapatkan rekod berkenaan laporan polis yang didakwa ditarik semula oleh pengadu.

Hari ini sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan kes itu membabitkan Mohd Aliff Naim Mohd Azmir (anak Amir Ukays) dan dua rakannya, Norqyyum Zainori dan Nor Kamrulazli Muhamed Noor Husen.

“Justeru, saya mohon tarikh perbicaraan hari ini dilapangkan dan ditetapkan semula bagi membolehkan semakan dibuat oleh pihak kami,” katanya.

Kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Simran Kaur, Wan Nur Afifah Che Bakar dan Siti Syaerah Meor.

Ketika ditemui pihak media, seorang lagi peguam bela, Muhamad Firdaus Jumaludin yang mewakili Mohd Aliff Naim memaklumkan pengadu wanita yang merupakan pemilik kereta mewah itu telah menarik balik laporan polis terhadap kesemua tertuduh.

“Pertikaian antara pihak-pihak sudah selesai disebabkan pengadu sudah menarik balik laporan polis.

“Pihak kami sedang menunggu laporan rasmi daripada pihak polis. Selepas ini, laporan itu akan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada 27 November 2024, Mohd. Aliff Naim bersama Norqyyum dan Nor Kamrulazli mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencuri sebuah kereta Ferrari bernilai RM300,000 milik seorang wanita di sebuah pusat cuci kereta di Hulu Kelang, pada pukul 11.08 pagi, 17 November 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Kesemua tertuduh juga mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pilihan, yang didakwa menyimpan Ferrari itu walaupun mengetahui kereta itu adalah harta curi.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah sebelum ini membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN