SUNGAI SIPUT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin dapat merampas kembali negeri Perak dalam Pilihan Raya akan datang selepas ‘mencuci’ keahlian parti tersebut dua bulan lalu.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kebanyakan yang kekal dalam parti kini dianggotai oleh mereka yang merupakan ahli asal Bersatu.
“Kami berjaya memastikan bahawa kesemua 24 Bahagian di seluruh Negeri Perak masih dapat beroperasi seperti biasa walaupun ada kalangan pimpinan sebelum ini yang telah meletakkan jawatan.
“Bersatu negeri Perak cuba dilemahkan tetapi sebenarnya bertambah kuat daripada sebelum ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis terbuka Aidilfitri Bersatu Negeri Perak di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu di sini malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pada Februari lalu, Bersatu memecat keahlian Timbalan Presiden yang merupakan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta beberapa lagi pemimpin kanan atas alasan melanggar Perlembagaan parti selain peletakan jawatan beberapa ahli yang lain.
Namun kata Ahmad Faizal, mereka yang telah meletakkan jawatan adalah kumpulan yang baru menyertai Bersatu ketika parti tersebut mempunyai kuasa.
Beliau malah melihat terkeluarnya Hamzah yang merupakan tokoh dari Perak tidak menggugat parti tersebut.
Ditanya mengenai faktor keyakinannya Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mampu menang di negeri ini, bekas Menteri Besar Perak itu berkata, sebab utama ialah pengundi akar umbi yang tidak bersetuju terhadap hubungan UMNO dan DAP.
“Malah apabila mereka (kerajaan) tidak begitu mesra perniagaan menyebabkan pengundi-pengundi daripada masyarakat Cina juga telah beralih arah,” katanya. – UTUSAN










