'Berpesta’ menjala sotong di Pantai Seberang Marang

‘Berpesta’ menjala sotong di Pantai Seberang Marang

PENGUNJUNG dalam dan luar negeri bersama ahli keluarga masing-masing berpesta menjala sotong di pesisir pantai Seberang Marang, Marang, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Suasana di Pantai Seberang Marang di sini, bagaikan pesta apabila lebih 300 pengunjung membanjiri pesisir pantai itu setiap hari untuk aktiviti menjala sotong, sejak tiga hari lalu.

Bermula pukul 6 petang, orang ramai sudah mula berkumpul kerana tidak mahu melepaskan peluang merasai sendiri kemeriahan aktiviti tersebut yang kini semakin popular dalam kalangan masyarakat ketika musim sotong tiba.

Lebih menarik, kehadiran pengunjung bukan sahaja dari kawasan sekitar, malah ada yang sanggup datang dari luar daerah termasuk Kuala Krai, Kelantan dan Setiu.

Seorang pengunjung, Roslina Husain, 51, berkata, dia bersama suaminya, Mohd. Ariff Mohamad, 53, serta 15 ahli keluarga lain datang dari Bandar Permaisuri, Setiu semata-mata mahu menjala sotong.

Katanya, mereka bertolak pukul 4.30 petang dengan tiga buah kereta dan turut menyewa inap desa di Seberang Marang.

“Ini kali pertama kami datang ke sini. Suami dan anak-anak memang minat menjala, jadi kami ambil peluang ini untuk berkumpul bersama keluarga. Alhamdulillah, kami memperoleh kira-kira empat kilogram (kg) sotong. Suasana di sini sangat meriah dan pengalaman ini memang menyeronokkan,” katanya di sini.

Roslina berkata, anak keduanya yang tinggal di Kuala Krai, Kelantan turut menjala sotong petang kelmarin.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Mohd. Zamri Alias, 46, berkata, dia tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti tersebut setiap kali musim sotong.

“Sejak musim sotong bermula, saya sudah pergi menjala di beberapa pantai termasuk Seberang Takir dan Tok Jembal. Kelmarin saya dapat kira-kira dua kilogram sotong manakala sehari sebelum itu tiga kilogram di lokasi sama,” katanya.

Mohd. Alif Najmi Anuar, 23, dari Kuala Ibai pula berkata, dia bersama enam rakannya tiba di pantai tersebut kira-kira pukul 5 petang kelmarin untuk turut serta dalam aktiviti berkenaan.

“Kami datang untuk mencuba nasib dan hasilnya agak lumayan apabila memperoleh kira-kira 10 kilogram sotong.

“Kami merancang menikmati hasil tangkapan ini bersama rakan-rakan dengan mengadakan barbeku,” katanya.

Fenomena menjala sotong di Pantai Seberang Marang tular sejak tiga hari lalu apabila pesisir pantai dipenuhi pengunjung dan penduduk setempat menjala sotong. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN