KUALA LUMPUR: Pelakon, Abby Abadi menafikan dakwaan yang kononnya pihaknya sebelum ini pernah dinasihatkan isteri pertama menantunya iaitu Umisya Mazlan agar membuat laporan polis bagi menghentikan gangguan Ahmad Aslam terhadap anaknya, Marissa Dania.
Terkejut dengan dakwaan yang dilemparkan, Abby menegaskan Umisya mengada-adakan cerita sehinggamembawa salah faham dan tanggapan tidak benar.
“Minta pihak mana buat laporan polis itu? Macam tuju dekat saya sahaja,” tulis Abby dalam Instastory.
Terdahulu, Umisya menerusi kenyataan dalam Threads, menyebut pernah meminta pihak Abby membuat laporan polis sebagai langkah untuk menghalang suaminya, Ahmad Aslam berterusan mengganggu Marissa.
Kenyataan itu dibuat selepas Ahmad Aslam dan Marissa hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan baru-baru ini bagi menjalani proses pengesahan cerai dan rujuk.
Abby dalam masa yang sama turut menepis dakwaan yang pihaknya sebelum ini telah beberapa kali bertemu Umisya bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.
“Tulis sudah berkali-kali jumpa, dua kali sahaja. Satu masa awal tahu Aslam dengan anak saya berhubung. Satu lagi selepas tahu (mereka) nikah di Thailand.
“Berkali-kali cakap itu, berapa kali? Memang salah pun anak saya masuk dalam hubungan ini, tapi janganlah berlebihan mereka-reka cerita. Benda tiada jangan diada-adakan,” tegasnya.
Untuk rekod, Marissa sah bergelar isteri kedua Aslam selepas keduanya bernikah di Songkhla, Thailand pada Disember 2023.










