KUALA NERUS: Pelantikan Ketua Pembangkang masih belum diputuskan dan akan dibincangkan secara menyeluruh dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keutamaan ketika ini adalah menyelesaikan urusan dalaman PN terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Katanya, tempoh untuk membuat keputusan masih panjang memandangkan sidang Parlimen berlangsung Jun ini.
“Kalau soal ketua pembangkang, ia akan dibincangkan bersama semua pihak kerana melibatkan semua Ahli Parlimen pembangkang. PN bukan hanya Pas. Walaupun Pas parti terbesar dalam gabungan ini, kita tetap mengambil kira pandangan parti lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Kuliah Duha Khas sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, di sini semalam.
Abdul Hadi berkata, perbincangan perlu dilakukan dengan teliti dan mengambil masa dan dijangka dapat diselesaikan sebelum sidang Parlimen akan datang.
“Kita akan ambil kira semua pandangan parti politik termasuk pandangan ahli Parlimen pembangkang sebelum membuat keputusan,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Seri Hamzah Zainudin diumumkan masih kekal sebagai Ketua Pembangkang sehingga keputusan baharu dibuat oleh PN.
Malah Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pada 14 Mac lalu memaklumkan gabungan itu memutuskan seorang Ahli Parlimen Pas akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang bagi menggantikan Hamzah.
Terbaharu, Ahli Parlimen Tanah Merah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dilaporkan berkata, majoriti daripada 69 Ahli Parlimen pembangkang mahu Hamzah terus menerajui blok itu di Dewan Rakyat.
Katanya, sokongan itu disuarakan khususnya oleh Ahli Parlimen Pas yang membentuk majoriti anggota pembangkang dengan 43 kerusi, walaupun parti itu mengambil alih jawatan Pengerusi PN.-UTUSAN










