TEMERLOH: “Saya jaga anak hampir 24 tahun, bukan untuk dibelasah. Keadilan mesti ditegakkan.”
Itu luahan seorang bapa, Rosafindi Tambi Chik, 49, susulan anaknya, Muhammad Amirul Raziq, 24, seorang anggota tentera yang kini dalam keadaan kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa pukul dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Bentong, dekat sini, Isnin lalu.
Dia yang juga bekas komando berkata, dunia ketenteraan tidak pernah mengajar anggotanya membelasah rakan sendiri sehingga membawa padah, malah menyifatkan tindakan tersebut sebagai perbuatan ‘tunjuk hero’ yang bersifat pengecut.
Dia dimaklumkan pegawai pemerintah kem itu bahawa anaknya pengsan sebelum dibawa ke Hospital Bentong dalam keadaan kritikal.
“Selepas terima panggilan kira-kira pukul 10.41 malam, saya bertolak dari rumah di Gemas, Negeri Sembilan dan tiba kira-kira pukul 2 pagi. Pihak hospital memaklumkan keadaan anak saya ‘tidak mengizinkan’ kerana jantungnya sudah berhenti selama satu jam.
“Dalam tempoh itu, doktor melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sejam sebelum jantungnya kembali berdenyut,” katanya ketika ditemui di Hospital Temerloh di sini.
Muhammad Amirul dipindahkan ke Hospital Temerloh bagi pemantauan pakar kerana doktor memaklumkan anggota tentera tersebut mengalami kekurangan oksigen ke bahagian otak akibat jantung terhenti terlalu lama hingga kematian tisu otak.
Hasil imbasan mendapati tiada kecederaan dalaman namun jantung mangsa membengkak dipercayai akibat CPR berpanjangan dan kini ditidurkan kerana kecederaan dialami kritikal.
Rosafindi turut mendakwa anaknya yang sudah tiga tahun berkhidmat sebagai anggota tentera turut dipukul sebelum kejadian itu, namun tidak memaklumkan individu terlibat.
Namun, dia difahamkan suspek berpangkat koperal dan sudah ditahan polis sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong bagi permohonan tahanan reman.
Katanya sepanjang dua dekad berkhidmat sebagai komando, latihan ketenteraan hanya menguji mental dan ketahanan, bukan mencederakan sesama sendiri.
“Saya harap keadilan ditegakkan kerana apa yang berlaku ini menyedihkan kami sekeluarga,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan menahan seorang anggota tentera bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. – UTUSAN










