Wanita tuntut hak demi anak-anak

Wanita tuntut hak demi anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap wanita mengimpikan sebuah perkahwinan yang kekal bahagia, dipenuhi kasih sayang dan kesetiaan. Namun tidak semua impian itu berakhir seperti diharapkan.

Ada yang diuji di pertengahan jalan, saat cinta disangka kekal selamanya, rupanya hanya sementara sahaja. Minggu ini saya kongsikan kisah, Junie (bukan nama sebenar) seorang wanita dan ibu yang pada awalnya cuba menerima kenyataan apabila suami berkahwin lagi.

Wanita itu memilih untuk bertahan, memujuk hati agar reda dan menyakinkan diri mungkin ada ruang untuknya mempertahankan rumah tangga yang hampir 21 tahun dibina.

Sepanjang tempoh hidup berpoligami, dia cuba bersabar dengan perubahan sikap serta perhatian suami yang terbahagi dua.

Tetapi pada hakikatnya, hati lelaki itu semakin jauh. Suaminya, Kadir (bukan nama sebenar) lebih cenderung kepada isteri muda.

Kadir lebih banyak meluangkan masa dan perhatian kepada isteri muda sehingga dia berasa tersisih.

Akhirnya, pada Januari 2022, dengan alasan tiada persefahaman dan tawar hati, suami memfailkan perceraian.

Selepas bercerai bermulalah episod lebih mencabar dalam hidup Junie.

Bukan sekadar menanggung luka diceraikan, tetapi dia perlu berdepan dengan realiti lebih berat.

Ini selepas bekas suami lupa tanggungjawab dan culas memberi nafkah.

Sepanjang tempoh itu, wanita tabah ini terpaksa turun naik mahkamah.

Bukan kerana dia suka bertelagah, tetapi kerana satu-satu cara untuk memastikan hak anak-anak tidak diketepikan.

Kisah Junie dikongsikan oleh anak saudaranya, Zana (bukan nama sebenar) dalam pertemuan baru-baru ini.

Menurut Zana, kisah tersebut dikongsikan atas kebenaran ibu saudaranya sendiri yang dipanggil Mak Teh itu.

Bukan untuk membuka aib, tetapi sebagai pengajaran bahawa setiap penganiayaan pasti ada balasannya.

Mungkin bukan hari ini atau esok tetapi Allah tidak pernah lalai dalam menilai setiap perbuatan.

“Apa yang berlaku kepada Mak Teh juga adalah sebagai peringatan yang setiap tindakan, baik atau buruk akan memberi kesan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi orang lain.

“Ujian pengkhianatan dan kezaliman yang dialaminya memberi pengajaran setiap perbuatan itu akan menerima balasan,” ujarnya.

Sambung Zana, mahkamah menjadi saksi perjuangan ibu saudaranya sepanjang hampir tiga tahun.

Ibu saudaranya terpaksa menebalkan muka, menuntut hak anak-anak yang sepatutnya tidak perlu diminta.

Setiap alasan diberi bekas suami menguji kesabaran. Namun ibu saudaranya itu tidak pernah berhenti memperjuangkan hak anak-anak.

Baru-baru ini, kata Zana, keluarga mereka mendapat perkhabaran mengenai bekas suami ibu saudaranya itu.

Perniagaan yang dahulunya dibanggakan jatuh merundum, selain berhadapan masalah kesihatan.

Lebih mengejutkan, lelaki itu turut ditinggalkan isteri muda.

Menurut Zana, apabila ibu saudaranya mendapat tahu tentang keadaan bekas suami, dia hanya mendengar dengan tenang.

“Tiada kesedihan, perasaan bangga atau puas. Mak Teh memberitahu kepada saya, apa yang pernah menyakitinya hanya tinggal kenangan.

“Dia enggan membalas dengan kebencian kerana lelaki itu tetap bapa kepada anak-anaknya,” ujarnya.

Mengimbau kisah rumah tangga ibu saudaranya itu kata Zana, tiada siapa menyangka rumah tangga bahagia yang dibina dengan penuh kasih sayang berakhir begitu sahaja.

Sepanjang perkahwinan selama lebih dua dekad itu, pasangan itu dikurniakan enam anak berusia lima hingga 20 tahun.

Bercerita lanjut kata Zana, pekerjaan Mak Teh sebagai salah seorang pegawai di sebuah bank di selatan tanah air tidak pernah menjadi alasan untuknya mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.

Katanya, dua tahun sebelum itu, ahli keluarga sudah dikejutkan dengan berita Mak Teh hidup berpoligami.

Tiada siapa menyangka, Mak Teh yang dikenali sebagai seorang yang periang, suka bergurau dan sentiasa menceriakan suasana, rupanya menyimpan luka tidak terlihat.

Dia diuji dengan kehadiran orang ketiga, namun kejutan itu belum berakhir apabila datang pula berita ibu saudaranya telah diceraikan.

Seolah-olah segalanya berlaku dengan pantas. Dari menerima hidup bermadu, hingga akhirnya ditinggalkan begitu sahaja. Apa yang berlaku bukan sahaja meruntuhkan hati seorang isteri, tetapi mengejutkan seluruh ahli keluarga.

“Kami benar-benar tidak menyangka pengakhirannya sebegitu, di saat Mak Teh diuji dengan perpisahan yang menyakitkan keluarga terdekat sentiasa ada.

“Kami bukan sahaja membantu dari segi emosi, tetapi juga penguat semangat untuknya terus bangkit dan dan membina kehidupan semula,” ujar Zana.

Menyingkap kisah kecurangan bekas suami ibu saudaranya itu, kata Zana, ia bukan berlaku sekelip mata.

Mak Teh mula mengesan kecurangan suami dari sikapnya yang semakin dingin dan masa yang berkurangan di rumah.

Naluri isteri tidak pernah salah, tetapi setiap kali Mak Teh bertanyakan tentang kecurigaannya, suami menafikan. Sehinggalah pada suatu hari kebenaran itu tidak dapat disembunyikan lagi.

“Mak Teh sedar ada seorang wanita muda yang berusaha mengambil tempatnya sedikit demi sedikit.

“Wanita muda itu hadir dengan kata-kata manis dan perhatian yang membuatkan suami ibu saudara lupa diri,” ujar Zana lagi.

Kemuncak kepada hubungan mereka apabila selepas dua tahun mempertahankan hubungan itu, Mak Teh diceraikan. Tiada perbincangan mahupun peluang diberikan.

Lebih memilukan, selepas perpisahan itu bekas suami Mak Teh terus tenggelam dalam dunia barunya. Bersama isteri baru yang 20 tahun lebih muda daripada bekas suami, lelaki itu lupa di belakangnya ada anak-anak yang perlu diberi nafkah.

Dan dari situlah kata Zana, bermulanya perjuangan Mak Teh menuntut hak yang sepatut menjadi miliknya dan anak-anak.

Perjuangan itu bukan untuk membalas dendam, tetapi mahu memastikan anak-anak mendapat hak sewajarnya.

Sambung Zana, pengajaran yang diambil daripada kisah MakTeh adalah penekanan kepada tanggungjawab seorang bapa.

Tanggungjawab itu tidak terputus, walaupun berlaku perceraian. Seorang bapa tetapa wajib memberi nafkah makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan.

Sesungguhnya Allah tidak membebani seseorang melebihi apa yang diberikan-Nya dan menjanjikan kemudahan setelah kesulitan.

Sebagaimana Firman Allah SWT, bermaksud, “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah mengikut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezeki , maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang Allah berikan kepadanya.” (At -Talaq:7).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN