PETALING JAYA : Polis mengesahkan bekas pengarang sebuah berita akhbar berbahasa Inggeris ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di hadapan sebuah premis di Batu Caves, Selangor pada kelmarin.
Penemuan lelaki berusia 66 tahun itu dimaklumkan oleh orang awam selepas menemukan mangsa tidak sedarkan diri di dalam kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohd Nasir berkata, laporan itu memaklumkan penemuan seorang lelaki di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Batu Caves, kira-kira pukul 7.50 malam.
“Mangsa berusia 66 tahun disahkan meninggal dunia dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati punca kematian mangsa adalah akibat penyakit jantung.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah,” jelasnya.
Terdahulu, keluarga mangsa dikenali sebagai Joshua Purushotman memaklumkan penemuan mayat itu.
Mayat mangsa ditemukan di tempat duduk pemandu sebuah kereta yang diparkir di kawasan berkenaan.-UTUSAN











