PETALING JAYA: Bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan stabil meskipun dunia kini berdepan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan laluan strategik seperti Selat Hormuz.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia sebagai ekonomi terbuka tidak terkecuali menerima tempias ketidaktentuan pasaran global namun situasi dalam negara masih terkawal dengan langkah proaktif sedang dilaksanakan.
Menurutnya, kerajaan bersama Petronas serta pemain industri memantau rantaian bekalan setiap hari selain menyediakan pelan kontingensi termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya gangguan berpanjangan berlaku.
“Kerajaan memahami kebimbangan rakyat. Pendekatan kerajaan jelas, tersusun dan berfokus bagi memastikan kestabilan bekalan dalam apa jua keadaan.
“Pada masa sama, kerajaan komited melindungi rakyat dengan mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter manakala penyelarasan harga bahan api tidak bersubsidi dilaksanakan secara terkawal dan berperingkat,” katanya dalam taklimat khas harian hari ini.
Bagi diesel pula, katanya, perlindungan diteruskan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dengan harga ditetapkan mengikut sektor, termasuk RM2.05 seliter bagi sektor logistik.
“Selain itu, bantuan tunai bulanan RM300 melalui inisiatif BUDI Diesel terus diberikan kepada pemandu kenderaan diesel yang layak manakala sektor seperti nelayan dan agri-komoditi turut menerima bantuan bersasar.
“Kerajaan juga mengekalkan had BUDI95 sebanyak 800 liter sebulan untuk pemandu e-hailing bagi memastikan kos operasi tidak dipindahkan kepada pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan terus mengadakan sesi libat urus secara berterusan dengan pemain industri bagi mendapatkan maklum balas masa nyata dan menyelaras tindakan dengan pantas.
Ujarnya, pemantauan harga barangan asas turut dilaksanakan setiap hari di seluruh negara dengan tindakan tegas akan diambil terhadap kenaikan harga tidak munasabah.
Mengulas langkah penjimatan tenaga, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) secara berperingkat bagi sektor awam bermula 15 April ini.
Selain itu, kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan termasuk menetapkan suhu penyaman udara minimum 24 darjah Celsius serta menggalakkan pemakaian pakaian bersesuaian dengan iklim tempatan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga secara berhemah,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan terus menyalurkan maklumat secara telus dan berkala kepada rakyat serta mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan.
“Kerajaan akan terus memastikan bekalan terjamin, bekerjasama rapat dengan industri dan membendung tekanan kenaikan harga.
“Namun kejayaan kita juga bergantung kepada peranan semua pihak untuk menggunakan tenaga secara berhemah dan mengelakkan pembaziran,” katanya.- UTUSAN









