Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram beritahu polis halal dibunuh - Saksi

Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram beritahu polis halal dibunuh – Saksi

ANGGOTA polis yang ditembak di kepala dalam serangan di balai berkenaan dua tahun lalu ditemukan dalam keadaan memegang senjata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut universiti memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram pernah menyatakan kepadanya bahawa anggota polis, askar dan institusi kerajaan adalah ‘halal’ untuk dibunuh.

Menurut Muhamad Farhan Haiqim Mohd Isa, 24, bapa penyerang itu, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, turut meluahkan rasa kecewa kerana anaknya, Radin Luqman, 21, tidak mengajaknya untuk melakukan serangan tersebut.

Selain itu, Radin Imran turut mendedahkan kepada saksi ketiga pendakwaan itu berkenaan hasratnya untuk membunuh abang kandungnya sendiri selepas lelaki berkenaan enggan mengikuti `ajarannya’.

Perkara itu dimaklumkan Radin Imran yang juga tertuduh ketiga dalam kes serangan Balai Polis Ulu Tiram itu kepada saksi berkenaan ketika mereka sama-sama ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Masai, Johor, dua tahun lalu.

Jelasnya, dia dan bekas teman wanitanya ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kerana mereka berada di balai berkenaan beberapa minit sebelum serangan bermula sehingga ia tamat.

“Semasa saya dalam lokap, pak cik itu tiba-tiba menangis. Saya tanya kenapa, dia kata roh anaknya dibawa burung hijau ke syurga. Dia sedih kerana anaknya tidak mengajaknya menyerang balai polis.

“Pak Cik (Radin Imran) itu juga cakap tentang darah anggota polis, askar dan institusi kerajaan halal dibunuh. Pak Cik itu juga tidak keluar rumah sebab mempunyai tanggungjawab (untuk) jihad dan menyebarkan ajarannya.

“Malah, pak cik itu beritahu dia bergaduh dengan abangnya sendiri kerana mereka enggan mengikuti ajarannya dan berhasrat membunuhnya. Saya mula menyedari pak cik itu adalah berbahaya dan takut dengan keselamatan diri sendiri,” katanya ketika memberi keterangan pada perbicaraan yang memasuki hari kedua perbicaraan hari ini.

Terdahulu, sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan, Muhammad Farhan berkata, pada 17 Mei 2024, dia dan wanita itu berada di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 1 pagi bagi membuat laporan berkaitan gangguan seksual.

Katanya, ketika sedang berbual dengan anggota polis, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar di luar bangunan balai, tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali berpakaian serba hitam dan bertopeng memasuki kawasan balai dengan menaiki motosikal.

Pada ketika itu, bekas teman wanitanya berada di dalam balai untuk membuat laporan polis.

“Lelaki itu meletakkan motosikal di sebelah kanan kawasan balai. Tidak lama kemudian, anggota polis yang bersama saya pergi memeriksa lelaki berkenaan sebelum saya terdengar jeritan kuat kira-kira 15 minit selepas itu.

“Saya kemudian bergegas masuk ke dalam balai dan memanggil anggota polis berkenaan sebelum saya dan bekas teman wanita bersembunyi di bawah meja kerana menyedari keadaan dalam bahaya,” kata Muhammad Farhan.

Beberapa minit kemudian, katanya, dia terdengar bunyi beberapa das tembakan dilepaskan sebelum menghubungi talian kecemasan 999.

“Selepas saya membuat panggilan kecemasan, sewaktu masih bersembunyi di bawah meja, telefon di balai berkenaan berbunyi dan saya menjawab panggilan tersebut. Pemanggil tersebut bertanya kepada saya betul ke ada kejadian tembakan di balai berkenaan dan saya sahkan.

“Selepas itu keadaan menjadi sunyi sebelum ambulans tiba di lokasi. Saya dan teman wanita kemudian dibawa keluar ke jejambat (flyover) di hadapan balai.

“Masa itu keadaan gelap dan sunyi, saya takut dan keliru kerana tidak tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Pada hari sama, Muhammad Farhan kemudian dihubungi polis sebelum dibawa ke IPD untuk dirakam keterangan dan ditahan reman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN