Aset usang TLDM jejas operasi maritim

Aset usang jejas operasi TLDM

UPACARA Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-92 peringkat Lembah Klang di KD Sri Gombak, - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:Cabaran aset usang yang dihadapi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada masa ini menjejaskan keupayaan tempur dan sistem penyelenggaraan maritim negara.

Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha berkata, ia sekali gus memberi impak kepada kesiapsiagaan operasi maritim negara.

Katanya, situasi tersebut memerlukan perhatian serius bagi memastikan keupayaan armada kekal relevan dan berkesan.

“Peningkatan kos penyelenggaraan akibat aset lama turut memberi kesan kepada perancangan operasi serta penggunaan sumber secara optimum dalam pelaksanaan tugas harian.

“TLDM sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani cabaran tersebut termasuk memperkukuh perancangan strategik dan pelaksanaan program transformasi angkatan laut,” katanya dalam Perutusan Timbalan Panglima Tentera Laut yang dibacakan oleh Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Muhammad Shakir Salleh sempena Hari TLDM ke-92 di KD Sri Gombak, semalam.

Tambah Badaruddin, Pelan Transformasi TLDM 15to5 menjadi antara fokus utama dalam usaha memodenkan armada serta memastikan keseimbangan keupayaan operasi pada masa hadapan.

Katanya, pelaksanaan pelan tersebut melibatkan perolehan aset baharu yang lebih canggih dan berupaya memenuhi keperluan operasi daripada tahap keselamatan maritim hingga peperangan.

“Faktor geopolitik global yang semakin kompleks menuntut TLDM sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan perairan negara, justeru kerjasama strategik dengan agensi dan rakan serantau akan terus diperkukuh bagi mempertingkatkan keupayaan pertahanan maritim negara,” katanya.

Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) iaitu KD Maharaja Lela, dijangka akan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjelang Disember tahun ini.

Sementara itu, Badarudin berkata, pembinaan lima kapal LCS oleh Lumut Naval Shipyard (Lunas) kini mencapai kemajuan 76.88 peratus dan berjalan mengikut jadual ditetapkan bagi memastikan kesiapsiagaan armada sentiasa berada pada tahap optimum.

Katanya, kapal kedua dan ketiga, iaitu Raja Muda Nala serta Sharif Mashor pula dijadualkan diserahkan pada April dan Disember 2027.

“Ketika ini, antara projek utama TLDM ialah pembinaan lima kapal LCS, tiga kapal Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2), serta perolehan dua kapal Multi-Role Support Ship (MRSS),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN