PETALING JAYA : Kadar jenayah sepanjang Op Selamat 26 sempena Aidilfitri tahun ini menurun apabila Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dilihat berfungsi sebagai ‘mata kedua’ polis.
Sepanjang tempoh itu, mengikut rekod, indeks jenayah menurun sebanyak 111 kes daripada 858 kes pada 2025 kepada 747 kes bagi tempoh sama tahun ini.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pelaksanaan Op Selamat 26 mencerminkan peningkatan kolaborasi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat melalui penggunaan aplikasi VSP serta strategi pencegahan jenayah yang lebih tersusun dan berfokus.
“Penggunaan aplikasi berkenaan turut menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan masyarakat sepanjang musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, penggunaan modul aduan melalui VSP meningkat daripada 80 kes kepada 150 kes.
“Modul pemakluman balik kampung pula mencatatkan lonjakan daripada 8,036 kepada 16,889 manakala penggunaan butang kecemasan meningkat daripada lima kepada tujuh kes,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 61,122 rumah ditinggalkan yang dilawati polis dengan 31,636 rondaan MPV dilaksanakan sepanjang tempoh Op Selamat.
“Berbanding Op Selamat 24, sebanyak 76,274 rumah ditinggalkan dilawati dengan 37,429 rondaan MPV.
“Perkembangan positif indeks jenayah ini membantu meningkatkan keberkesanan rondaan MPV serta lawatan ke rumah ditinggalkan secara lebih komprehensif,” ujarnya.
Menurutnya, setakat 30 Mac lalu, jumlah keahlian aplikasi VSP mencecah 1,705,852 pengguna.
“Pencapaian ini mencerminkan tahap kesedaran dan komitmen masyarakat yang semakin tinggi dalam usaha pencegahan jenayah bersama PDRM,” jelasnya.
Mohd Yusri berkata, pihaknya akan terus memperkukuh strategi pencegahan jenayah melalui rondaan, penguatkuasaan serta penglibatan komuniti.
“Bertunjangkan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, sinergi ini diyakini mampu mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan negara secara berterusan,” katanya. – UTUSAN










