Annas Sulaiman dilantik Ketua Polis Daerah Wangsa Maju baharu - Utusan Malaysia

Annas Sulaiman dilantik Ketua Polis Daerah Wangsa Maju baharu

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Annas Sulaiman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Asisten Komisioner Annas Sulaiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu disaksikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Dalam majlis tersebut, Fadil turut merakamkan penghargaan kepada Mohamad Lazim atas khidmat bakti dan kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang menerajui pentadbiran Polis Daerah Wangsa Maju.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan Mohamad Lazim, pelbagai usaha, inisiatif dan pendekatan telah dilaksanakan dalam memperkukuh keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.

“Kepimpinan beliau yang berteraskan integriti dan komitmen tinggi telah membuahkan pelbagai kejayaan khususnya dalam aspek operasi, tangkapan serta pencegahan jenayah,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan hari ini.

Mengulas lanjut, Fadil menyifatkan tempoh perkhidmatan Mohamad Lazim selama hampir dua tahun di daerah berkenaan sebagai satu pencapaian yang cemerlang dan penuh integriti.

“Sepanjang tempoh setahun 11 bulan 26 hari,hampir dua tahun perkhidmatan Mohamad Lazim di Ibu Pejabat Darah Wangsa Maju,” katanya.

Beliau menyifatkan pelantikan Mohamad Lazim ke jawatan baharu di JSJK Bukit Aman sebagai satu langkah tepat berdasarkan kepakaran luas yang dimiliki pegawai kanan tersebut dalam bidang jenayah siber.

“Saya percaya pucuk pimpinan pasukan telah membuat pertimbangan yang tepat dalam menempatkan beliau di jawatan tersebut, selaras dengan pengalaman dan kepakaran yang dimilikinya,” katanya.

Dalam pada itu, Fadil turut mengingatkan bahawa tugas sebagai Ketua Polis Daerah merupakan amanah yang berat memandangkan trend jenayah yang semakin kompleks.

Bagaimanapun, beliau menaruh keyakinan tinggi bahawa dengan semangat ‘esprit de corps’ yang utuh dalam kalangan warga IPD Wangsa Maju, setiap cabaran akan dapat diatasi dengan jayanya.

“Saya menyeru seluruh warga IPD Wangsa Maju untuk memberikan sokongan padu kepada Annas selaku Ketua Polis Daerah yang baharu demi meneruskan agenda kecemerlangan pasukan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN