PETALING JAYA: “P. Ramlee boleh diangkat sebagai tokoh bijaksana tiada tandingan. Pada saya, tidak ada orang seperti Allahyarham di dunia ini. ”
Demikian kata Pengerusi Kelab Peminat Allahyarham Tan Sri P Ramlee cawangan Lembah Klang, Prof. Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh mengenai cadangan mengemukakan usul kepada kerajaan supaya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dianugerahkan gelaran Tun secara ‘posthumous’ (penghormatan selepas kematian) bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Jun ini.
Menurut Wan Hashim cadangan itu, yang dikemukakan oleh salah seorang ahli jawatankuasa akan diusulkan untuk pertimbangan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan.
“Kita akan bawa untuk pertimbangan. Pada saya, ia wajar kerana sebelum ini memang ada tokoh yang dianugerahkan gelaran secara ‘posthumous’.
“Jadi, mengapa tidak kita angkat seniman agung ke tahap lebih tinggi dengan mencadangkan penganugerahan gelaran Tun untuk Allahyarham?” katanya.
Wan Hashim berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka kelab peminat itu di Kampung Bahagia, semalam.
Hadir sama adalah anak P. Ramlee, Sazali dan isteri, Hamidah Hitam; Setiausaha Kelab Peminat P. Ramlee Lembah Klang, Sandakiah Aziz serta Ahli Jawatankuasa Perhubungan persatuan, Akmal Abdullah.
Wan Hashim juga memaklumkan pihaknya merancang untuk mempercepatkan perbincangan dengan menghantar cadangan rasmi kepada Jabatan Perdana Menteri.
“Diharapkan cadangan ini dapat dipertimbangkan dan penganugerahan itu diberikan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Jun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Akmal memaklumkan P. Ramlee selayaknya diberi pengiktirafan itu selepas sekian lama memegang gelaran Tan Sri.
“Allahyarham bergelar Tan Sri sekitar lebih tiga dekad lalu, juga secara posthumous. Sudah masanya beliau dianugerahkan gelaran Tun.
“Kita maklum, bukan mudah mendapatkan penganugerahan Tun kerana mempunyai kuota tertentu. Tapi, setakat ini belum ada tokoh seni yang menerima gelaran itu,” katanya.
Akmal dalam masa sama berpandangan cadangan berkenaan bukan hanya berdasarkan sumbangan seniman agung itu dalam industri seni dan budaya, malah sebagai penghargaan generasi masa kini terhadap legasi yang ditinggalkan.
“Mungkin pada zamannya, penghargaan itu tidak diberikan sepenuhnya. Namun hari ini kita melihat betapa besarnya pengaruh dan sumbangan beliau kepada negara.
“Sehubungan itu, pihak persatuan akan mengemukakan usul rasmi kepada Jabatan Perdana Menteri dan Istana Negara untuk dipertimbangkan,” kongsinya.










