KUALA LUMPUR: Airbus mahu terus memperkukuh komitmen mereka terhadap Malaysia terutama dalam sektor pertahanan.
Presiden Airbus bagi Asia Pasifik, Anand Stanley berkata, Malaysia disifatkan sebagai sebuah negara yang boleh menjadi pangkalan pelanggan utama mereka terutama di rantau Asia Tenggara.
“Ketika ini, terdapat lebih 80 helikopter awam, parapublik dan ketenteraan yang beroperasi bersama agensi nasional dan angkatan bersenjata. Aset ini beroperasi seiring dengan empat pesawat pengangkut tentera Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Malaysia turut menikmati keupayaan komunikasi yang kukuh menerusi satelit telekomunikasi MEASAT-3b dan MEASAT-3d yang dibina oleh Airbus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pameran Perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Anand berkata, Airbus akan memposisikan keupayaannya untuk menyokong pertumbuhan negara ini berdasarkan keperluan untuk memperkukuh pertahanan serta keselamatan.
Katanya, ia boleh dilakukan melalui rangkaian luas helikopter dan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) termasuk Airbus H225M, NH90 dan Flexrotor.
“NH90 diketengahkan bagi operasi peperangan anti-kapal selam (ASW) dan anti-permukaan (ASuW). Tersedia dalam varian pengangkutan taktikal (TTH) dan helikopter frigat NATO (NFH), versi NFH mampu melaksanakan pelbagai misi peperangan maritim dan keselamatan laut.
“Sebagai aset kritikal, H225M membolehkan pelaksanaan misi mencari dan menyelamat tempur (CSAR) yang menyelamatkan nyawa, selain berupaya melengkapi armada H225M sedia ada TUDM serta peranannya dalam pertahanan negara dan operasi kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata, sebuah negara sememangnya memerlukan aset serba guna yang mampu melaksanakan pelbagai misi termasuk risikan, pengawasan, pemerolehan sasaran dan peninjauan (ISTAR).
“Sistem UAS taktikal Flexrotor menumpukan kepada ketahanan penerbangan ultra panjang dan operasi berprofil rendah. Sesuai dengan landskap pertahanan Malaysia, Flexrotor telah terbukti dalam misi dengan lebih 5,800 jam penerbangan di persekitaran berisiko tinggi.
“Bagi pesawat ketenteraan, A400M diketengahkan dengan keupayaan sokongan pengisian bahan api udara-ke-udara, membawa muatan berat dalam jarak jauh, serta beroperasi di landasan tidak berturap. Sebagai pelanggan eksport pertama jenis ini, TUDM menggunakan pesawat tersebut untuk pelbagai misi ketenteraan dan kemanusiaan,” katanya.
Tambahnya, Airbus menawarkan platform Eurostar Neo bagi memenuhi keperluan komunikasi satelit ketenteraan masa depan Malaysia.
“Teknologi itu mempunyai jangka hayat operasi sehingga 15 tahun, platform ini menyokong pelbagai jalur komunikasi selain menawarkan daya tahan operasi tanpa gangguan, konfigurasi boleh ubah suai sepenuhnya dan kemudahan pengendalian.
“Kehadiran industri Airbus di Malaysia melangkaui pesawat komersial, termasuk kemudahan helikopter serta sokongan kepada angkatan tentera negara,” katanya. – UTUSAN










