AI hakis elemen kemanusiaan dalam perundangan  

AI hakis elemen kemanusiaan dalam perundangan  

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh bergambar pada Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang perlu berwaspada agar tidak terlalu bergantung pada kecerdasan buatan (AI) sehingga boleh menghakis elemen manusia dalam amalan undang-undang.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, kebimbangan itu khususnya melibatkan peguam muda yang mudah terdedah kepada kebergantungan terhadap teknologi berkenaan.

“Menjadi insan bermakna melalui proses pembelajaran, melakukan kesilapan, berdepan cabaran dan mengingati. Tidak dinafikan, AI menyebabkan kita semakin kurang menggunakan keupayaan mental sendiri.

“Apabila pemikiran diserahkan kepada pihak luar, memang ia menjimatkan masa, namun kita sebenarnya kehilangan sebahagian daripada jati diri. Kecekapan itu sebenarnya milik mesin,” katanya pada Persidangan Commonwealth Legal Education Association (CLEA) 2026 di Universiti Malaya, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Farid menggalakkan ahli guaman untuk menerima teknologi AI, namun ia perlu dimanfaatkan secara berhemah sebagai alat bantuan, bukan pengganti.

“Pentingnya disiplin dalam berfikir secara mendalam, menyusun hujah dengan jelas serta melibatkan diri secara bermakna dalam setiap perbahasan.

“Ini bukan kemahiran yang lapuk, sebaliknya menjadi asas penting kepada advokasi, penghakiman dan keadilan,” katanya.

Menurut beliau, teknologi tidak mampu menimbang nilai belas ihsan atau melaksanakan pertimbangan berteraskan hati nurani, malah tidak berupaya memahami sisi kemanusiaan di sebalik setiap kes undang-undang.

“Budi bicara kehakiman, kesaksamaan dan kebebasan perlu kekal menjadi teras dalam setiap tindakan.

“Pentingnya penerapan penaakulan etika sejak peringkat awal dalam proses pengajaran dan amalan undang-undang.

“Pada akhirnya, kita bukan sekadar melatih peguam untuk berhujah dengan baik, tetapi membentuk individu yang memikul harapan serta menegakkan keadilan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN