Ahli keluarga bercerai, Afieq Shazwan pernah rasa takut mahu kahwin - Utusan Malaysia

Ahli keluarga bercerai, Afieq Shazwan pernah rasa takut mahu kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Afieq Shazwan, mengakui menyimpan perasaan bimbang dan trauma untuk melangkah ke alam perkahwinan selepas melihat ahli keluarga berhadapan perceraian.

Cerita Afieq atau Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 29, bagaimanapun, dia enggan melayan perasaan itu sebaliknya percaya kepada urusan jodoh yang ditentukan Allah.

“Melihat kawan-kawan seperjuangan ramai yang sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata pada usia sekarang, bohonglah jika tidak terdetik di hati. Namun, trauma penceraian yang berlaku dalam keluarga sendiri membuatkan saya berfikir banyak kali.

“Melihat perpisahan ayah dan ibu adalah satu perkara yang tidak menyeronokkan, terutama apabila melibatkan anak-anak yang ramai. Perkara ini juga semestinya akan mengubah cara hidup kita juga.

“Cuma saya tidak mahu selamanya takut, mahu atau tidak, kita kena cuba,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah terbuka iQIYI, baru-baru ini.

Bagaimanapun, dalam nada berseloroh, Afieq berkata mungkin rasa takut itu hilang seandainya dia berjodoh dengan rakan bernyanyi yang digosipkan bersama, Wany Kayrie.

“Mungkin dengan orang lain saya takut, dengan dia saya mungkin okay. Setakat ini begitu sahajalah, kahwin ini semua kehendak Allah. Kalau sudah jodoh, jodoh juga.
Sama juga jika jodoh tidak panjang, semua sudah tertulis.

“Dengan Wany, kami memang sudah berkawan lama dan sangat rapat. Kalau ada rezeki dan hubungan itu melangkah ke fasa istimewa, saya akan umumkan.

“Mungkin kalau menang Anugerah Juara Lagu (AJL) nanti, saya umumkan dengan siapa saya akan berkahwin,” katanya ketawa.

Bercerita mengenai kriteria wanita idaman, Afiq menegaskan dia lebih selesa dengan wanita yang mempunyai kerjaya sendiri dan memahami kesibukan tugasnya sebagai anak seni.

“Saya mahukan wanita yang ada impian dan kerjaya sendiri supaya masing-masing faham tanggungjawab. Paling penting, jangan terlalu mengongkong atau mengawal hidup saya,” katanya.

Ditanya mengenai sasarannya untuk menamatkan zaman bujang, Afiq mengakui perancangannya sebelum ini untuk berkahwin pada usia 25 tahun telahpun tersasar disebabkan tuntutan kerjaya.

“Sasaran asal saya umur 25 tahun, tapi waktu itu saya baru mahu membina nama dan fokus pada kerjaya selepas tamat belajar. Sekarang, saya letakkan sasaran baharu iaitu pada usia 30 atau 31 tahun.

“Kalau bajet tak cukup, kita lanjutkan lagi setahun,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN