PETALING JAYA: Sebanyak 79 hotel di seluruh negara akan menawarkan diskaun sehingga 70 peratus sempena Sambutan Hari Pekerja Sedunia dan Festival Rain Rave Water Music 2026 bermula 30 April hingga 2 Mei ini.
Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) dalam kenyataan memaklumkan, promosi penginapan eksklusif itu dirancang bagi merancakkan aktiviti pelancongan sepanjang tempoh sambutan tersebut, selain menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Katanya, pengunjung berminat boleh memulakan tempahan bermula 29 April hingga 3 Mei, sekali gus memberikan pilihan menarik kepada mereka yang merancang percutian singkat.
“Hotel-hotel yang mengambil bahagian turut menawarkan pelbagai pakej, termasuk kadar bilik istimewa serta pakej gabungan, bagi menyokong peningkatan perbelanjaan pelancongan, di samping merangsang pergerakan pelancong ke destinasi-destinasi utama negara
“Inisiatif ini menyokong usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh sektor pelancongan negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman budaya yang unik menerusi TMM 2026,” katanya.
Tourism Malaysia berkata, usaha kolaboratif mencerminkan pendekatan strategik dalam memperkukuh ekosistem pelancongan negara serta memperluas manfaat kepada penggiat industri melalui penganjuran acara berskala besar.
“Pelawat boleh menikmati tawaran ini dengan menggunakan kod promosi ‘VM2026TWD’ ketika membuat tempahan melalui laman web rasmi hotel atau secara terus dengan hotel-hotel yang mengambil bahagian,” katanya.
Festival Rain Rave Water Music 2026 yang berlangsung selama tiga hari menampilkan gabungan muzik, budaya dan gaya hidup kontemporari di tengah-tengah bandar.
Festival itu menawarkan platform yang unik kepada pelawat antarabangsa untuk merasai sendiri kepelbagaian serta keunikan Malaysia.
Maklumat lanjut berkenaan tawaran oleh hotel-hotel yang terlibat boleh dilayari di https://www.malaysia.travel/deals/world-labour-day-celebration-cum-rain-rave-water-music-festival-2026 manakala maklumat lanjut termasuk senarai hotel yang terlibat serta butiran pakej boleh didapati melalui kempen infografik rasmi atau di www.malaysia.travel. – UTUSAN










