PETALING JAYA: “Tujuh tahun yang indah dengan mencintai antara satu sama lain kini telah menjadi satu denyutan jantung.”
Demikian kata pelakon, Nelydia Senrose ketika memaklumkan dirinya kini hamil anak pertama selepas tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan bersama suami, Mohd. Hafez Halimi Abdul Hamid.
Umpama hadiah paling bermakna, Nelydia turut menitipkan ucapan ulang tahun perkahwinan buat suami tercinta.
“Selamat ulang tahun perkahwinan ketujuh buat kita berdua,” katanya di Instagram.
Menerusi hantaran tersebut, Nelydia berkongsi khabar gembira itu menerusi sebuah video yang memaparkan imej imbasan kandungan, namun tidak mendedahkan usia kehamilannya.
Perkongsian itu dihujani ucapan tahniah dari rakan selebriti dan netizen di ruangan komen.
“Kesayangan saya kuasa dua sudah nak jadi emak. Saya paling gembira, sumpah,” kata pelakon, Aprena Manrose.
“Alahai comelnya, Alhamdulillah. Tahniah, Nely dan suami,” komen pelakon, Mira Filzah.
Nelydia berkahwin dengan Mohd. Hafez yang juga ahli perniagaan pada 6 April 2019. – UTUSAN










