3 aktivis ganggu ucapan Azam Baki bebas reman

Tiga aktivis ganggu ucapan Azam Baki dibebaskan

AZAM Baki selepas menghadiri Wacana Ilmiah Perdana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) . UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga aktivis yang ditahan selepas mencetuskan provokasi dengan mengibarkan sepanduk Tangkap Azam Baki semasa ucapan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dibebaskan awal pagi ini.

Ketiga mereka telah dibebaskan sekitar pukul 1.15 pagi tadi telah disahkan penyelaras Mandiri, Fakrurrazzi Khairur Rijal kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mandiri dalam satu hantaran media sosial turut memaparkan ketiga mereka iaitu Hamdin Nordin, Ahsanul Akmal Sulam dan Fakrurrazzi Khairur Rijal bergambar di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Terdahulu, ketiga-tiga mereka dilaporkan bakal dikenakan perintah reman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan, namun dibebaskan lebih awal daripada jangkaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus mengesahkan pihaknya menerima dua laporan polis berhubung insiden yang berlaku di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC) pada Selasa lepas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 447 kerana pencerobohan dan Seksyen 504, sengaja mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan.

“Selain itu, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya.

Di bawah peruntukan undang-undang tersebut, individu yang disabitkan kesalahan boleh berhadapan hukuman bermula daripada denda ringan RM100 sehingga hukuman penjara maksimum dua tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN