2,000 penduduk menderita bau asap kebakaran belukar

2,000 penduduk menderita bau asap kebakaran belukar

ASAP daripada kebakaran belukar di kawasan Pusu Tiga menjejaskan beribu penduduk kampung terutama di Taman Desa Damai, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Walaupun api kebakaran belukar di kawasan Pusu Tiga di sini sudah dipadamkan, kesannya masih dirasakan ribuan penduduk sekitar ekoran asap berpanjangan khususnya pada waktu malam.

Keadaan tidak selesa dan merimaskan itu dirasakan lebih 2,000 penduduk di Taman Desa Damai, Gong Badak apabila bau asap sehingga memasuki rumah mereka sejak empat hari lalu.

Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Damai, Yusof Abdullah berkata, keadaan tersebut paling teruk pernah dialami sejak dia menetap di kawasan berkenaan sembilan tahun lalu.

Katanya, asap bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, malah mengehadkan jarak penglihatan sehingga kurang 100 meter.

“Bau asap agak kuat hingga masuk ke dalam rumah. Dalam jarak 100 meter pun pandangan sudah tidak jelas terutama pada waktu pagi.

“Keadaan kali ini paling teruk, mungkin disebabkan cuaca panas yang menyebabkan kebakaran berlarutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Yusoh, lokasi kebakaran itu terletak kurang satu kilometer (km) dari kawasan perumahan tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk, Khatijah Abdullah, 37, berkata, kawasan perumahan itu ‘diselubungi’ asap sejak beberapa hari lalu walaupun kebakaran dipadamkan.

“Walaupun api sudah dipadam, asap masih ada. Mujur anak-anak saya tidak mengalami asma, tetapi jiran-jiran yang menghidap penyakit itu memang terkesan.

“Saya harap keadaan ini kembali pulih seperti biasa dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar memaklumkan kebakaran belukar di kawasan tersebut telah dipadam sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN