Yusof Haslam bimbang konflik Iran-AS jejaskan industri perfileman tempatan - Utusan Malaysia

Yusof Haslam bimbang konflik Iran-AS jejaskan industri perfileman tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit filem tersohor, Datuk Yusof Haslam meluahkan kebimbangan terhadap ketegangan konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) yang berpotensi memberi kesan rantaian kepada ekonomi global, termasuk industri perfileman tempatan.

Yusof atau Mohd. Yusof Md. Haslam Khan, 71, berkata, situasi peperangan yang menjejaskan kestabilan harga minyak dunia dijangka meningkatkan kos sara hidup, sekali gus mempengaruhi corak perbelanjaan masyarakat.

“Dalam konteks dunia perfileman, saya turut berasa bimbang. Apabila harga barang dan minyak meningkat, ia pasti menjejaskan ekonomi keseluruhan.

“Menonton wayang juga tidak terkecuali. Orang ramai akan mula berfikir, sama ada mahu berbelanja untuk makan atau hiburan. Kita berharap konflik ini dapat diselesaikan segera. Tambahan pula, banyak filem tempatan berkualiti dijadualkan ditayangkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis pelancaran filem Malaikat Malam, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Yusof turut berkongsi cabaran peningkatan kos penggambaran, khususnya melibatkan pengangkutan, susulan ketidaktentuan harga bahan api.

“Dahulu, kos minyak sekitar RM300 sudah mencukupi untuk perjalanan ke Kelantan, tetapi kini boleh mencecah sehingga RM600. Harga diesel juga sudah melebihi RM5 seliter.

“Apabila harga barangan asas seperti gula dan tepung meningkat, amat sukar untuk ia turun semula walaupun perang berakhir,” ujarnya.

Menurutnya, kesan kenaikan kos ini bukan sahaja dirasai oleh penggiat industri perfileman, malah turut membebankan peniaga lain termasuk pengusaha restoran.

“Bukan pembikin filem sahaja yang terkesan, peniaga makanan juga berdepan kebimbangan. Orang ramai kini lebih berhati-hati dalam berbelanja. Jadi, kita semua perlu berjimat-cermat,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN