MCMC turunkan 10,000 akaun palsu babitkan kerabat diraja

MCMC turunkan 10,000 akaun palsu babitkan kerabat diraja

FAHMI Fadzil pada Simposium Penyiaran Digital ABU DBS 2026, di Hotel Times Square, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 10,000 akaun palsu melibatkan identiti kerabat diraja sejak awal Januari hingga 28 Mac lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peningkatan trend penyalahgunaan media sosial terutama melibatkan penciptaan akaun palsu kerabat diraja adalah perkara yang serius.

“Semalam saya telah persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai beberapa perkara yang agak membimbangkan.

“Berdasarkan dapatan MCMC, dari 1 Januari hingga 28 Mac, lebih 10,000 akaun palsu yang menyalahgunakan identiti sama ada Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong serta kerabat-kerabat diraja telah diturunkan,” katanya ditemui media dalam perasmian Simposium Penyiaran Digital ABU DBS 2026, di Hotel Times Square, di sini hari ini.

Fahmi berkata, isu penciptaan akaun palsu di negara ini semakin membimbangkan dan bertambah dari semasa ke semasa.

“Trend ini dilihat tidak berkurangan. Malah hampir setiap hari, MCMC memaklumkan jumlah fake account yang mengguna pakai nama-nama antara lain Sultan Abdullah, Sultan Pahang, yang menyalahgunakan identiti Tengku Hassanal (Raja Muda Pahang), Tunku Ismail (Pemangku Sultan Johor), terlalu banyak.

“Jadi, Tuanku telah menitahkan Kementerian Komunikasi dan pihak MCMC mengambil tindakan pantas dan tegas, termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA),” katanya.

Fahmi turut menzahirkan kekecewaan dengan maklum balas yang diterima pihaknya daripada Meta mengenai isu peningkatan trend cipta akaun palsu yang tidak diambil serius.

“Malangnya pada waktu ini, pihak Meta sangat-sangat lembap. Mereka langsung tidak memandang serius isu ini. Dan inilah yang menyebabkan pihak MCMC dan saya sendiri berasa sangat kecewa,” katanya.

Sementara itu, katanya, Kementerian Komunikasi akan tetap dan tegas dalam melaksanakan ONSA.

“Pada waktu ini ada beberapa instrumen subsidiari yang perlu disiapkan dan diwartakan Jabatan Peguam Negara dan kita jangkakan menjelang mungkin dalam tempoh beberapa minggu kalau tidak sebulan yang akan datang kita akan boleh mula laksanakan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga kekal untuk menguatkuasakan sekatan media sosial bagi individu bawah 16 tahun menjelang Jun dan kemungkinan lebih awal sekiranya proses berjalan lancar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN