KUALA LUMPUR: Seramai 84 pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) diraikan dalam Majlis Iftar Ramadan 1447H anjuran Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Menurut LTAT, sumbangan tersebut disampaikan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong usaha pendidikan dan kebajikan yang dilaksanakan oleh yayasan berkenaan.
Katanya, sumbangan itu termasuk CSR bernilai RM21,000 daripada Desatera Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh Pengarahnya, Brigedier Jeneral (B) Baharudin Che Din secara langsung kepada pihak STAY ATM.
“Selaras dengan matlamat berterusan memperkasa pendidikan anak-anak warga ATM, Yayasan LTAT telah menyalurkan sumbangan CSR Pendidikan berjumlah RM10,000 yang disempurnakan oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd Nizar Haji Sudin.
“Sokongan terhadap yayasan itu terus diperkukuh apabila IRAT Hotel & Resort menyerahkan dana CSR sebanyak RM73,200 menerusi Pengarah Kanan Hartanah LTAT, Zairuddin Zainal bagi menyokong inisiatif pendidikan dan kebajikan yang dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di Majlis Iftar Ramadan 1447H di sini hari ini.
Sementara itu, LTAT berkata, aspek pembudayaan ilmu para pelajar tidak dilupakan apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Ketua Editor Bahagian Majalahnya, Dr. Rosmani Omar turut menyumbang bahan bacaan ilmiah kepada STAY ATM.
“Yayasan LTAT bersama Sun Life Malaysia Takaful Berhad menyampaikan duit raya dan baju raya kepada pelajar STAY ATM sambil menghimpunkan rakan strategik bagi menyokong kebajikan serta pendidikan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin TUDM (B), Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Takaful Association, Encik Mohd Radzuan Mohamed serta Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin. – UTUSAN










