KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyemak semula Rangka Kerja Perumpukan Aset Strategik (SAA) bagi memastikan pengurusan aset strategik lebih berkesan dan selaras dengan objektif pelaburan jangka panjang.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, pencarum LTAT menaruh harapan tinggi terhadap pulangan yang mampan, dan semakan semula ini penting untuk memastikan aset strategik diurus dengan lebih berkesan.
Menurutnya, semakan ini melibatkan penilaian semula kadar pendedahan aset strategik dalam portfolio LTAT, penetapan garis panduan baharu bagi pelaburan dan pengurusan risiko anak-anak syarikat, serta memastikan setiap langkah diambil dengan teliti supaya aset strategik dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“SAA diselaraskan dengan strategi Project Earth, yang menumpukan pada penstrukturan semula anak-anak syarikat LTAT dan pengurangan pendedahan berlebihan dalam Aset Di Bawah Pengurusan (AUM), iaitu jumlah keseluruhan nilai aset yang diuruskan oleh LTAT bagi pihak pencarum.
“Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan operasi serta prestasi pelaburan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Khlir Mohd. Nor (PN- Ketereh) menyatakan apakah langkah-langkah strategik yang telah diambil oleh Kementerian bagi menentukan LTAT dapat membayar dividen seperti mana zaman gemilang LTAT seperti tahun 2017 dan sebelumnya.
Katanya, langkah ini membolehkan LTAT menyalurkan lebih banyak dana ke pelaburan berisiko rendah, termasuk instrumen fixed income, yang dapat memberikan pulangan stabil kepada pencarum.
Rangka kerja SAA yang telah disemak kini menunggu kelulusan akhir daripada Kementerian Kewangan sebelum ia dapat dilaksanakan secara rasmi bagi memastikan semua aspek pelaburan dan tadbir urus selaras dengan dasar kerajaan serta objektif jangka panjang LTAT.
“LTAT komited memastikan pengurusan aset strategik sentiasa berkesan dan seimbang, sekali gus memastikan pencarum menerima dividen yang mampan dan stabil, selaras dengan objektif menjaga kesejahteraan pencarum selepas persaraan,” katanya. – UTUSAN










