PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melancarkan kempen Bersama Wira sebagai usaha memperkukuh komitmen dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi ahli dan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, kempen itu memberi peluang kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kepada keluarga ATM yang berdepan penyakit kritikal atau kesusahan kewangan di seluruh kem ATM.
Hasil kutipan itu katanya, akan disalurkan dalam bentuk pakej bantuan berisi barangan keperluan harian yang diperoleh daripada anak syarikat milik penuh LTAT iaitu Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).
“Kempen Bersama Wira ini sejajar dengan nilai Madani berteraskan kasih sayang, keterangkuman dan tanggungjawab bersama. Ia menjadi platform untuk seluruh rakyat Malaysia menzahirkan penghargaan kepada wira negara yang telah berkorban mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air,” katanya dalam satu forum di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin.
Forum sulung itu turut menghimpunkan bekas-bekas panglima ATM sebagai wadah perbincangan, pertukaran pandangan serta pengukuhan aspirasi nasional dalam memelihara keharmonian dan kedaulatan negara.
Mohammad Ashraf berkata, kempen tersebut mencerminkan komitmen berterusan LTAT yang bukan sahaja memberi fokus kepada strategi pelaburan jangka panjang, tetapi turut melaksanakan inisiatif sosial berimpak tinggi kepada komuniti pertahanan negara. – UTUSAN










