PETALING JAYA: Malaysia telah melengkapkan pencalonan Wayang Kulit Kelantan bagi Senarai Warisan Budaya Tak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dengan penilaian dijangka akan berlangsung pada tahun ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penilaian dijangka akan berlangsung secara berperingkat dan pencalonan menonjolkan seni tradisi unik yang telah diamalkan secara turun-temurun di Kelantan.
Menurutnya, selain Wayang Kulit Kelantan, Malaysia turut mencalonkan tarian singa dan perarakan Chingay untuk pertimbangan UNESCO pada 2027.
“Tarian singa telah dicalonkan bersama oleh Malaysia dan China, manakala perarakan Chingay telah dicalonkan bersama oleh Malaysia dan Singapura.
“Ini menandakan kali kedua Malaysia bekerjasama dengan negara-negara ini secara
pencalonan bersama ke UNESCO,” katanya dalam kenyatan Laporan Kemajuan Kerja 2025 hari ini.
Tambah King Sing, pengiktirafan UNESCO bukan sahaja mengangkat identiti budaya Malaysia tetapi juga mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan berasaskan pengalaman budaya yang unik kepada pengunjung antarabangsa.
Katanya, Malaysia terus menerima pengiktirafan budaya di peringkat antarabangsa apabila pelbagai aset budaya negara disenaraikan dalam Senarai Warisan Dunia dan Senarai Warisan Budaya Tak Ketara UNESCO.
“Antara kejayaan itu ialah Malaysia dan China berjaya mendapatkan inskripsi Wangchuan/Wangchuan-e Xing (“Ritual Penghantaran Kapal Raja”) pada 2020. Serta, Kebaya yang dicalonkan bersama Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei turut disenaraikan pada 2024,” katanya.
King Sing berkata, elemen warisan tidak ketara negara Kelantan Wayang Kulit,
tarian singa dan Chingay telah selesai proses pencalonan dan kini berada dalam
barisan giliran untuk dipertimbangkan oleh UNESCO.
“Ini menunjukkan identiti pelbagai budaya Malaysia yang unik dan amat berbaloi untuk dirasai sendiri oleh pengunjung dari seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN










