Warga emas OKU rentung dalam kebakaran

Warga emas OKU rentung dalam kebakaran

BEBERAPA anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas, Pulau Pinang, petang tadi.-GAMBAR/IHSAN JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Seorang warga emas yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dijumpai rentung dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Kampung Guar Kepayang di sini, kira-kira pukul 5 petang tadi.

Ketika kejadian, mangsa, Siti Aishah Ahamad, 60-an, dipercayai terperangkap dalam bilik tidur dan gagal keluar untuk menyelamatkan diri sebelum terkorban dalam kebakaran tersebut.

Selain Siti Aishah, turut terlibat dalam kebakaran itu ialah suaminya yang juga berusia 60-an dan anak lelaki mereka yang berusia 20-an. Bagaimanapun, kedua-dua hanya mengalami kecederaan ringan iaitu melecur pada bahagian kaki dan tangan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu dengan keanggotaan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas.

Katanya, operasi tersebut turut dibantu oleh tiga BBP berhampiran iaitu BBP Tasek Gelugor, BBP Butterworth dan BBP Bertam serta beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang berada tidak jauh dari lokasi.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B yang berkeluasan kira-kira 40×80 kaki persegi dengan peratus kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 80 peratus.

“Difahamkan, rumah yang terbakar itu dihuni oleh tujuh orang, namun, ketika kejadian, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun selamat manakala tiga penghuni lain iaitu anak lelaki kepada mangsa tiada di rumah kerana bekerja,” katanya di sini, hari ini.

Jelas Mohamad Shoki, kebakaran yang sama turut memusnahkan empat buah motosikal iaitu jenis Honda EX5, Yamaha Legenda, Yamaha RXZ dan Honda RS.

“Kebakaran tersebut akhirnya berjaya dipadamkan kira-kira pukul 5.46 petang dan operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya sekitar pukul 8.31 malam ini.

“Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) yang berada di lokasi turut memberikan khidmat nasihat dan mengambil maklumat pemilik serta akan membantu dan menjadi pemudah cara mengikut keperluan semasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN