KUALA LUMPUR: Peruncit pakaian global, UNIQLO meneruskan kerjasama strategik bersama Taman Tugu Malaysia dan Pusat Persekitaran Global (GEC) melalui sumbangan berjumlah RM300,000 bagi menyokong perlindungan ekosistem semula jadi negara secara jangka panjang.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM200,000 diperuntukkan kepada GEC untuk pemulihan hutan paya bakau, manakala RM100,000 disumbangkan kepada Taman Tugu Malaysia bagi inisiatif pemuliharaan hutan bandar.
Sumbangan ini dijana melalui kutipan caj beg kertas RM0.30 yang diperkenalkan UNIQLO sejak 2020.
Hasil tersebut disalurkan sepenuhnya kepada program pemuliharaan hutan, pemulihan paya bakau dan inisiatif penghutanan semula di seluruh Malaysia.
Pengarah Kelestarian UNIQLO Malaysia, Dawn Chow berkata, matlamat utama syarikat adalah untuk menjadikan kehidupan harian rakyat Malaysia lebih baik, bukan sahaja melalui pakaian LifeWear tetapi juga melalui sumbangan bermakna kepada masyarakat.
“Melalui kerjasama jangka panjang ini, kami berharap dapat menjadikan pemuliharaan lebih mudah diakses dan dikaitkan dengan kehidupan seharian masyarakat supaya mereka dapat melihat bagaimana tindakan kecil menyumbang kepada perlindungan alam semula jadi,” katanya pada majlis tersebut, baru-baru ini.
Sebagai sebahagian daripada fasa kedua projek di Kampung Tenglu Laut, Mersing, sumbangan tersebut akan digunakan untuk memulihkan satu lagi hektar hutan paya bakau serta memanjangkan pemecah ombak sedia ada sejauh 50 meter bagi menangani hakisan pantai.
Sementara itu, Pengarah GEC, Faizal Parish berkata, sokongan daripada UNIQLO mengukuhkan tindakan pemulihan yang memerlukan pemantauan rapi dan penglibatan komuniti yang kuat untuk berjaya.
“Kerjasama jangka panjang adalah penting bagi menyediakan kesinambungan yang diperlukan dalam projek restorasi untuk memastikan komuniti tempatan lebih berdaya tahan terhadap keadaan cuaca yang mencabar,” katanya.
Sementara itu, kerjasama dengan Taman Tugu Malaysia yang kini memasuki tahun kelima akan memfokuskan kepada program komuniti mesra keluarga termasuk pemberian 3,000 pohon tanaman setahun melalui inisiatif UNIQLO – Taman Tugu Plant Giveaway.
Program lain turut merangkumi modul pendidikan Plant & Hunt untuk kanak-kanak serta siri bengkel eko baharu yang menyasarkan penyertaan sekolah bagi meningkatkan kesedaran biodiversiti dalam kalangan generasi muda.
Dalam pada itu, Pengarah Projek Amanah Warisan Negara (AWAN), Fizulin Mohamed Zin berkata, sokongan berterusan UNIQLO membantu mengekalkan kekerapan program pendidikan supaya pengunjung dapat belajar mengenai kepentingan hutan bandar secara praktikal.
“Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan UNIQLO bahawa perlindungan alam sekitar yang bermakna dibina melalui tindakan kolektif dan konsisten, sekali gus menghubungkan pilihan harian pelanggan dengan hasil pemuliharaan yang lestari untuk generasi akan datang,” katanya. –UTUSAN










