Operasi kutipan sisa pepejal Aidilfitri Johor bermula 15 Mac

Operasi kutipan sisa pepejal Aidilfitri Johor bermula 15 Mac

MOHD. NORLISAM Mohd. Nordn (kiri) melakukan gimik mengangkat sampah pada Program Operasi Sisa Pepejal Aidilfitri Johor 2026 yang diadakan di Kampung Dato’ Onn Larkin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal, SWM Environment Sdn. Bhd. akan melaksanakan operasi khas kutipan sisa pepejal sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini bermula 15 hingga 22 Mac depan.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, jadual kutipan sisa pepejal akan dilaksanakan sehari lebih awal bagi memastikan kelancaran perkhidmatan di seluruh negeri.

Katanya, langkah strategik tersebut diambil bagi menangani peningkatan jumlah janaan sisa pepejal menjelang sambutan 1 Syawal.

“Seramai 4,500 pekerja pembersihan bersama 620 kenderaan berjentera melibatkan lori kompaktor, lori open-tipper dan lori Roll-On Roll-Off (RORO) akan digerakkan sepanjang tempoh operasi berkenaan.

“Operasi ini turut memberi tumpuan khas di 120 lokasi berkepadatan umat Islam yang tinggi, antaranya di Bandar Baru Uda, Kampung Melayu Majidee dan PPR Stulang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd. Norlisam meminta orang ramai memberi kerjasama dengan memastikan laluan kutipan sisa tidak dihalang oleh kenderaan yang diletakkan di tepi jalan sepanjang tempoh operasi.

“SWM Environment juga bersedia menguruskan peningkatan sisa pukal, sisa kebun serta barangan kitar semula yang dijangka bertambah sepanjang musim perayaan.

“Setiap premis kediaman diminta menempatkan sisa tersebut di tepi tong sampah beroda atau di rumah sampah berpusat mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan Operasi Sisa Pepejal Aidilfitri Johor 2026 boleh hubungi talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472 atau WhatsApp SWM di 012-618 0082 yang akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN