Johor cipta rekod pelaburan RM110 bilion pada 2025

Johor cipta rekod pelaburan RM110 bilion pada 2025

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor mencatat sejarah baharu apabila merekodkan jumlah pelaburan tertinggi dalam negara sebanyak RM110 bilion pada 2025.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jumlah pelaburan tersebut mewujudkan sebanyak 24,584 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri ini.

Katanya, pencapaian itu bukan sahaja membanggakan malah bukti keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Johor yang semakin kukuh dan berdaya saing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pencapaian ini bukan sekadar rekod baharu, sebaliknya ia mencerminkan transformasi struktur ekonomi Johor yang semakin matang serta mampu bersaing di peringkat serantau.

“Kejayaan ini turut didorong oleh kepimpinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menekankan kemajuan ekonomi negeri perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, momentum pertumbuhan tersebut turut dipacu oleh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta kedudukan strategik negeri ini yang bersempadan dengan republik berkenaan.

“Singapura merupakan salah satu daripada negara dengan ekonomi paling maju dan dinamik di Asia.

“Kita komited memastikan setiap pelaburan yang diluluskan memberi pulangan sebenar kepada rakyat melalui penciptaan lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta keupayaan rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan infrastruktur strategik merangkumi rangkaian pengangkutan, logistik dan kemudahan awam bagi memastikan pertumbuhan ekonomi disokong ekosistem pembangunan yang cekap dan mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini