KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menawarkan sekutu Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat pertukaran sebahagian peluru berpandu pertahanan udara mereka dengan penghalang dron Ukraine, bagi melindungi daripada serangan dron Iran.
Serangan Israel dan AS ke atas Iran mencetuskan serangan balas Teheran termasuk penggunaan dron di seluruh rantau.
Russia menggunakan dron reka bentuk Iran, Shahed sepanjang pencerobohan empat tahun ke atas Ukraine, manakala Kyiv membangunkan pelbagai penghalang dron murah dan berkesan termasuk pesawat udara yang direka untuk mengekang dron serangan dalam penerbangan dan dikatakan antara terbaik di dunia.
Pada masa sama, Ukraine menghadapi kekurangan peluru berpandu PAC-3, senjata mahal yang digunakan untuk menangkis serangan dron dan peluru berpandu Russia bagi mempertahankan bandar serta infrastruktur kritikal.
“Isu nombor satu ialah bagaimana melindungi ruang udara mereka. Kita sendiri menghadapi persoalan ini.
“Bercakap tentang senjata yang amat kami perlukan iaitu peluru berpandu PAC-3. Jika mereka mahu memberikannya, kami akan menukarkannya dengan penghalang dron,” katanya.
Zelensky berkata, peluru berpandu PAC-3 tidak berkesan untuk melindungi daripada serangan beratus-ratus dron Shahed.
“Ini pertukaran yang adil. Kami pasti akan lakukan ini. Jika pasukan mula bekerja sekarang, kita akan lihat hasilnya,” kata Zelensky kepada wartawan di Kyiv.
Presiden Ukraine itu mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohamed Zayed Al-Nahyan dan Pemimpin Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani pada Selasa.
Serangan Iran di negara Teluk menyasarkan pangkalan tentera serta infrastruktur awam termasuk bangunan kediaman, hotel, lapangan terbang dan pelabuhan, menggugat sebuah rantau yang lama dilihat selamat dari konflik Asia Barat.
Iran bergantung kuat pada peluru berpandunya untuk serangan, senjata yang didakwa boleh dipintas oleh sistem pertahanan udara PAC-3.-AFP










