TUDM selaras Operasi Pembenihan Awan atasi cuaca panas melampau

TUDM selaras Operasi Pembenihan Awan atasi cuaca panas melampau

NORLELA Harun ketika ditemui di Pangkalan TUDM Subang, di sini semalam - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bermula dengan sesi taklimat di darat sehinggalah pesawat menembusi awan di udara, Operasi Pembenihan Awan (OPA) bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan koordinasi teliti antara pelbagai agensi.

Pegawai Memerintah No. 20 Skuadron, Lt Kol Norlela Harun TUDM berkata, sebagai agensi pelaksana, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang bertanggungjawab menyediakan analisis cuaca.

Selain itu, TUDM juga bekerja rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang bertindak melakukan penyelarasan keperluan operasi berdasarkan situasi.

“Operasi pembenihan awan merupakan satu usaha bersepadu yang merangkumi kerjasama beberapa agensi. TUDM bertanggungjawab menyediakan pesawat serta kru penerbangan untuk melaksanakan misi di udara.

“Sepanjang operasi, komunikasi berterusan dilakukan antara pesawat dan pusat kawalan bagi memastikan semua maklumat cuaca, kedudukan awan dan perkembangan operasi dapat dikemas kini secara masa nyata,” katanya ketika ditemui di Pangkalan TUDM Subang, di sini semalam.

Norlela berkata, TUDM akan menjalankan sesi taklimat bagi membolehkan MetMalaysia membentangkan analisis semasa cuaca, kawasan sasaran serta jenis awan yang berpotensi untuk proses pembenihan.

“Selepas itu, kru pesawat akan membuat persiapan termasuk pemeriksaan pesawat. Setelah semua persiapan selesai, pesawat akan berlepas menuju ke kawasan operasi.

“Apabila tiba di kawasan sasaran, kru akan bekerjasama dengan pakar meteorologi untuk mengenal pasti awan yang sesuai sebelum melakukan pelepasan larutan garam pada altitud dan kedudukan yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut Norlela, ketika di udara, kru TUDM akan mencari awan towering cumulus, iaitu sejenis awan yang berkembang secara menegak.

Jelasnya, awan tersebut menunjukkan adanya arus udara menaik yang kuat yang menjadikannya sesuai untuk proses pembenihan awan.

“Kru pesawat akan mengenal pasti awan tersebut melalui pemerhatian visual dari kokpit, bantuan radar cuaca pesawat serta maklumat yang diberikan oleh pakar meteorologi di darat.

“Apabila awan yang berpotensi dikenal pasti, pesawat akan melakukan pendekatan pada jarak dan altitud yang sesuai sebelum bahan pembenihan dilepaskan untuk merangsang pembentukan titisan hujan,” katanya.

Namun, Norlela berkata, operasi pembenihan awan bukanlah semudah yang disangka kerana kru perlu membuat keputusan dengan pantas.

“Kadangkala awan yang pada awalnya kelihatan berpotensi boleh berubah struktur dalam masa yang singkat.

“Cabaran ini juga memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada kru kerana ia memerlukan tahap kerjasama, kemahiran penerbangan serta koordinasi yang tinggi antara semua pihak terlibat.

“Melihat hasil pembenihan awan yang berjaya menghasilkan hujan di kawasan sasaran merupakan satu kepuasan kepada kru yang terlibat dalam misi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN