KOTA BHARU: Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyiasat dan meneliti kes seorang doktor pelatih wanita ditemukan mati di asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, kelmarin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, ia menjurus kepada punca sebenar kejadian termasuk dari aspek tekanan tempat kerja dan faktor lain yang menyumbang kepada perkara tersebut.
Katanya, JKNK berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan emosi keluarga arwah.
“JKNK berdukacita dengan kejadian berlaku dan saya ada menziarah keluarganya pagi tadi.
“Arwah merupakan doktor pelatih wanita dari Universiti Mansoura, Mesir dan sedang menjalani praktikal,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemukan mati di bilik asramanya di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 9.55 pagi selepas pihak hospital membuat laporan berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik berkenaan.-UTUSAN










