Polis rampas dadah bernilai RM10.2 juta - Utusan Malaysia

Polis rampas dadah bernilai RM10.2 juta

HUSSEIN Omar Khan menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aktiviti dua sindiket pengedaran dadah terbongkar selepas dua siri serbuan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor dan Kuala Lumpur pada 2 dan 5 Mac lalu. 

Hasil serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu tiga individu ditahan selain pelbagai bahan kimia, peralatan memproses dadah serta bunga ganja bernilai keseluruhan lebih RM10.2 juta dirampas.

Pengarah JSJN, Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah gudang di kawasan Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya, Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah bahan kimia serta peralatan dipercayai digunakan bagi memproses dadah.

“Antara yang dirampas ialah 214 tong mengandungi cecair disyaki bahan kimia selain tiga tong berisi serbuk disyaki bahan kimia, lima botol mengandungi serbuk disyaki bahan kimia serta serbuk bahan kimia seberat 0.94 kilogram.

“Turut dirampas lima unit mesin dan tiga balang kaca dipercayai digunakan dalam proses penghasilan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Jelasnya, siasatan mendapati sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Oktober 2024 dan menggunakan identiti palsu untuk menyewa gudang berkenaan dengan kadar sewaan RM6,500 sebulan.

Katanya, modus operandi sindiket adalah menjadikan gudang di kawasan perindustrian sebagai makmal haram memproses dadah sebelum bahan terlarang itu diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.

“Polis juga percaya premis tersebut dijadikan lokasi pemprosesan dadah sebelum ditinggalkan oleh sindiket berkenaan,” katanya.

Hussein berkata, kegiatan itu terbongkar selepas ahli sindiket itu melarikan diri dan menyebabkan mereka gagal membayar sewaan.

“Pemilik kemudian pergi ke premis tersebut untuk membuat pemeriksaan sebelum mendapati ia telah digunakan sebagai makmal haram memproses dadah.

“Kita tidak tolak kemungkinan mereka ini adalah ahli sindiket sama yang kita ambil tindakan pada bulan lalu di Perak dan Pulau Pinang, menyebabkan mereka lari dan tinggalkan gudang berkenaan terbiar,” katanya.

Dalam kes berasingan, Hussein berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 38 tahun ditangkap di sekitar ibu negara.

Katanya, tangkapan dilakukan hasil serbuan ke atas sebuah lori di hadapan sebuah rumah teres di sekitar Taman Sri Rampai di sini.

“Hasil pemeriksaan menemukan 10 kotak mengandungi dadah disyaki jenis bunga ganja seberat 124.70 kilogram.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM10.2 juta dan dipercayai boleh menjejaskan kira-kira 249,000 orang penagih jika diedarkan di pasaran,” jelasnya.

Katanya, siasatan mendapati suspek pertama berperanan sebagai koordinator sindiket, manakala dua lagi bertindak sebagai runner bagi menguruskan penghantaran bekalan dadah.

“Saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 5 Mac hingga 11 Mac ini bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini