Tiga lelaki dicekup cuba seludup minyak masak ke Thailand

Tiga lelaki dicekup cuba seludup minyak masak ke Thailand

SEBAHAGIAN minyak masak peket yang cuba diseludup ke Thailand dirampas oleh KPDN Kelantan dalam serbuan di Pasir Mas, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Helah sindiket menjadikan rumah kampung sebagai pusat transit bagi menyeludup minyak masak paket bersubsidi ke Thailand tumpas apabila tiga lelaki dicekup dalam serbuan di Kampung Lubuk Tapah, di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.45 petang oleh Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan itu, semua suspek diberkas ketika sedang memunggah kotak minyak masak di hadapan rumah berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pihaknya terlebih dahulu mengesan pergerakan sebuah van jenis Toyota Hiace putih yang dipercayai digunakan sindiket untuk menghantar bekalan ke lokasi transit tersebut.

“Serbuan mendapati tiga lelaki tempatan sedang memindahkan minyak masak sebelum mereka ditahan untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan menemukan 12 kotak minyak masak paket bersubsidi seberat 204 kilogram di luar rumah manakala 119 kilogram lagi disimpan di dalam premis itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Aswadi berkata, keseluruhan rampasan berjumlah 323 kilogram dipercayai untuk diseludup ke negara jiran bagi mengaut keuntungan mudah hasil penjualan barangan bersubsidi dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN