KLANG: Tiga buah kilang musnah dalam kebakaran di Jalan Kapar, Batu 9 1/2, Kampung Perapat, Klang hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.44 petang.
Katanya, sepasukan 31 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Klang Utara, Pelabuhan Klang, Klang Selatan, Andalas dan Bukit Jelutong dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan tiga lot kilang bangunan kelas C.
“Kilang pertama merupakan bengkel kenderaan terbakar kira-kira 50 peratus. Kilang kedua pula adalah kilang kitar semula yang terbakar 100 peratus, manakala lot ketiga merupakan stor penyimpanan cat juga terbakar sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, setakat ini tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kebakaran masih belum berjaya dikawal berikutan ketiadaan punca sumber air terbuka di lokasi kejadian. – UTUSAN











