Tiga juta kenderaan dijangka guna lebuh raya hari ini

Tiga juta kenderaan dijangka guna lebuh raya hari ini

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir tiga juta kenderaan akan melalui lebuh raya utama di seluruh negara hari ini susulan orang ramai mula pulang ke destinasi masing-masing selepas cuti Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, peningkatan jumlah kenderaan itu turut didorong oleh ibu bapa yang menghantar anak kembali ke asrama berikutan sesi persekolahan yang bermula Isnin ini.

“Ada yang baru pulang ke pusat bandar dari kampung selain pergerakan ibu bapa menghantar anak ke asrama. Aliran trafik dari Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar juga menunjukkan peningkatan.

“Selain itu, trafik perlahan dikesan dari Senawang ke Port Dickson serta Putra Mahkota ke Bangi,” katanya.

LLM berkata, bagi Lebuhraya Utara-Selatan (E2), trafik mula meningkat dari Ayer Keroh menghala ke Simpang Empat, manakala di Lebuhraya Utara-Selatan (E1) arah selatan pula melibatkan laluan dari Alor Setar ke Pendang.

“Bagaimanapun, keadaan trafik setakat ini masih terkawal tanpa sebarang kemalangan atau insiden yang menjejaskan aliran kenderaan.

“Namun, kami menjangkakan trafik akan menjadi lebih tinggi selepas pukul 2.30 petang,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 34 laluan ‘Smart Lane’ diaktifkan sepanjang musim perayaan ini bagi melancarkan pergerakan trafik, selain larangan kenderaan berat yang masih berkuat kuasa.

Sehubungan itu, LLM menasihati pengguna lebuh raya agar berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) atau keluar di persimpangan berhampiran sekiranya kenderaan mengalami kepanasan.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan kerosakan kenderaan di tengah jalan yang boleh menyebabkan kesesakan.

“Orang ramai juga disaran merancang perjalanan dengan teliti melalui Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) menggunakan aplikasi MyPLUS-TTA atau laman sesawang AFA Prime.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian bebas tol LLM di 1-800-88-7752,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN