2.67 juta kenderaan guna lebuh raya sempena Deepavali

2.67 juta kenderaan guna lebuh raya sempena Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah trafik di lebuh raya utama dijangka meningkat dengan ketara menjelang cuti perayaan Hari Deepavali dengan trafik tertinggi diramal mencecah 2.67 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, trafik dijangka meningkat bermula 16 Oktober ini bagi pengguna lebuh raya yang menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS, manakala Lebuhraya KL–Karak (170,000 kenderaan).

“Selain itu, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (90,000), Fasa 2 (40,000) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE, 170,000 kenderaan) turut dijangka mengalami peningkatan trafik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut LLM, kerajaan Madani turut mengumumkan diskaun tol 50 peratus bagi kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) bermula 18 Oktober ini pada pukul 12.01 tengah malam hingga 19 Oktober pada pukul 11.59 malam di semua plaza tol kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (Lebuhraya LINKEDUA).

Bagi memastikan perjalanan pengguna selamat dan lancar, LLM mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya mengambil langkah proaktif termasuk mengelakkan penutupan lorong kecuali bagi kerja kecemasan dan mengaktifkan smart lane di 29 lokasi utama Lebuhraya PLUS.

“LLM menasihatkan pengguna merancang perjalanan melalui aplikasi MyPLUS-TTA atau Travel Time Advisory (TTA), memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan mematuhi papan tanda lalulintas.

“Pengguna juga boleh menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan alternatif ketika kesesakan di lokasi smart lane.

“Langkah-langkah ini adalah untuk memastikan perjalanan rakyat selamat, lancar, dan selesa sepanjang musim perayaan Deepavali ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN