PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan kira-kira 2.6 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti Hari Krismas, Khamis depan.
LLM dalam kenyataan berkata, kira-kira 2.2 juta kenderaan dijangka melalui lebuh raya bawah Kumpulan PLUS diikuti Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (186,000), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (69,200), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (33,200) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) (144,600).
LLM menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus bagi kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) bermula 23 Disember, pukul 12.01 tengah malam sehingga 24 Disember, pukul 11.59 malam di semua plaza tol, kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya LINKEDUA.
Bagi memastikan perjalanan selamat dan lancar, LLM mengarahkan semua syarikat konsesi melakukan persediaan rapi termasuk tiada penutupan lorong kecuali kerja kecemasan, mengaktifkan laluan pintar di 30 lokasi serta memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelak kesesakan.
“Selain itu, kemudahan tambahan seperti parkir dan tandas mudah alih, penambahan petugas untuk kebersihan serta bekalan minyak mencukupi turut disediakan sepanjang tempoh perayaan.
“Dalam pada itu, kami juga mengingatkan pengguna agar merancang perjalanan melalui TuJu Highway Navigation App LLM, memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan baki kad tol atau e-dompet mencukupi.
“Bagi penunggang motosikal, pastikan untuk sentiasa fokus ketika menunggang, mematuhi papan tanda dan menggunakan 571 lokasi tempat berteduh penunggang motosika (motorcycle shelter) yang disediakan sekiranya cuaca buruk,” katanya.
Status semasa trafik dan sebarang insiden boleh diperoleh melalui media sosial rasmi LLM di Facebook, aplikasi X @llmtrafik, TikTok @llmtrafik atau hubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.
Maklumat melalui paparan kamera litar tertutup (CCTV) juga boleh diakses di laman sesawang rasmi LLM di www.llm.gov.my. – UTUSAN










