KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mengesahkan belum ada sebarang laporan atau aduan mengenai mana-mana taman asuhan kanak-kanak (Taska) di negeri ini menggaji pengasuh-pengasuh yang belum menerima latihan melalui Kursus Asuhan Permata (KAP).
Pengarahnya, Che Samsuzuki Che Noh berkata, pihaknya sentiasa bersikap tegas dalam aspek pengambilan pengasuh di semua taska sekitar negeri ini bagi mengelakkan timbul sebarang isu berkaitan pengasuh bermasalah termasuk gangguan mental.
Katanya, JKM Kelantan sentiasa melakukan pemeriksaan berkala ke atas lebih 200 taksa berdaftar di negeri ini, termasuk 80 di Kota Bharu dengan tindakan segera diambil bagi aduan-aduan khusus untuk diselesaikan dalam masa 24 jam.
“Setiap pekerja yang diambil sebagai pengasuh di taska mesti mendapatkan latihan melalui KAP dan JKM tidak mengeluarkan lesen sehinggalah semua pengusaha memastikan mereka menggaji pengasuh-pengasuh berdaftar serta mempunyai kelulusan KAP.
“Kita mesti ingat, kita ambil pekerja-pekerja ini untuk menjadi pengasuh kanak-kanak di taska,” katanya selepas Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilftri 2026 anjuran Yayasan Petronas, di sini malam tadi.
Beliau memberitahu, setiap pekerja yang diambil sebagai pengasuh di mana-mana taska akan disaring menerusi Sistem Perkhidmatan Kanak-Kanak (Sistem Anak) yang dinaik taraf daripada Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK). – UTUSAN










