PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menafikan pernah sebarang tangkapan atau tahanan terhadap remaja bawah umur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Pengarah JSJ, Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tiada rekod penahanan dibuat terhadap individu kanak-kanak berumur 17 tahun pada 15 Februari lalu sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
“Bagaimanapun, terdapat jabatan lain dalam PDRM yang mempunyai bidang kuasa tangkapan dan siasatan di bawah SOSMA ” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Suaram mendakwa sekurang-kurangnya enam remaja bawah umur kini ditahan oleh polis di bawah Akta Sosma.
Pengarah Eksekutif Suaram, Azura Nasron berkata, maklumat pihaknya menunjukkan remaja lelaki berkenaan termasuk dua berusia 17 tahun telah ditahan di Bukit Aman sejak 15 Februari.
Katanya, dakwaan itu muncul selepas ibu bapa salah seorang tahanan mendapatkan bantuan undang-undang daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari yang juga seorang peguam, selepas remaja itu ditangkap di Alor Setar, Kedah.
Ibu bapa kepada remaja terlibat mendakwa anak mereka ditangkap di bawah Sosma atas dakwaan memiliki bahan berkaitan keselamatan yang dilarang.-UTUSAN









